Kempen Boikot Israel

Oleh Khalid Jimat

Kempen boikot Israel dan syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel telah dipopularkan oleh gerakan-gerakan sivil pro-Palestin seperti Inminds, Interpal dan Palestine Solidarity Campaign (PSC) sejak tahun 1990an lagi. Ia adalah kesan langsung kepada pengenduran kempen boikot Israel oleh negara-negara Arab pasca Persidangan Damai Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 juga solidariti aktivis hak asasi manusia bersama rakyat Palestin ketika Intifada Palestin (1987-1993).

 

Boikot Sebelum Madrid dan Oslo
**************************************
Sebelum Madrid dan Oslo, banyak syarikat cuba mengelak daripada berurusan dengan Israel kerana bimbang disenarai hitam oleh negara-negara Arab. Sejak tertubuhnya Israel pada tahun 1948, Liga Arab telah menubuhkan satu biro khas – Central Boycott Office, untuk memantau senarai syarikat-syarikat Israel dan syarikat multinasional yang berurusan dengan Israel.

 

Bagi melindungi Israel daripada ancaman boikot Liga Arab, Kongres US telah meluluskan satu rang undang-undang pada tahun 1977 yang mengharamkan penglibatan syarikat-syarikat US dalam kempen boikot Israel oleh Liga Arab. L’oreal sebagai contoh pernah disaman oleh kumpulan pro-Zionis di US, Anti-Defamation League (ADL) atas tuduhan anti-semitik kerana tunduk kepada ancaman boikot Liga Arab.

 

Boikot Pasca Madrid dan Oslo
************************************
Namun, selepas Madrid dan Oslo, pelbagai syarikat mula memberanikan diri untuk membuka cawangan di Israel. Antaranya termasuklah McDonald’s (1993), Nestle (1995) dan L’oreal (1995). Kemasukan syarikat-syarikat ini memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi Israel sehingga Nestle dan L’oreal menerima anugerah ketika sambutan Jubli Emas (50 Tahun) Israel pada tahun 1998.

 

Suara boikot menjadi semakin lantang ketika Intifada al-Aqsa (2000-2005) apabila Syeikh Yusuf al-Qardhawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel:
“Setiap riyal, dirham dan sebagainya yang digunakan untuk membeli barangan mereka akhirnya akan menjadi peluru-peluru untuk menembak jantung saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh kerana itu, adalah wajib bagi kita untuk tidak membantu mereka (musuh Islam) dengan membeli barangan mereka. Membeli barangan mereka bererti menyokong kezaliman, penindasan dan kekejaman. Membeli barangan mereka akan menguatkan mereka; tangungjawab kita adalah untuk melemahkan mereka semampu kita. Kewajipan kita juga adalah untuk menguatkan saudara-saudara kita yang berjuang di bumi barakah ini semaksima yang boleh. Jika kita tidak mampu menguatkan mereka, adalah menjadi tugas kita untuk melemahkan musuh. Sekiranya kelemahan musuh tidak tercapai kecuali dengan boikot, maka kita wajib memboikot mereka.

 

Walau bagaimanapun, tekanan boikot ketika itu masih tidak mampu menandingi sokongan dan bantuan yang diterima oleh Israel dari US dan syarikat-syarikat multinasional. Penjajahan dan penguasaan tentera bahkan semakin diperketat pasca Intifada al-Aqsa dengan pembinaan tembok pemisah (apartheid) di Tebing Barat, kepungan ke atas Gaza, penambahan pos-pos pemeriksaan tentera, serbuan, penangkapan dan pemenjaraan aktivis dan ahli politik, rampasan tanah, perobohan rumah-rumah, pembinaan penempatan haram Yahudi dan pelbagai lagi tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

 

Pelbagai tindakan telah diambil oleh aktivis hak asasi manusia untuk membela nasib rakyat Palestin. Antaranya termasuklah membawa kes-kes jenayah Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Hasilnya pada tahun 2004, ICJ telah mengeluarkan ketetapan bahawa tembok apartheid yang dibina oleh Israel di Tebing Barat jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Tembok ini perlu diruntuhkan dan pembinaannya perlu dihentikan serta-merta. Walau bagaimanapun, keputusan ini langsung tidak diendahkan dan tiada sebarang tindakan sewajarnya diambil oleh komuniti antarabangsa ke atas Israel.

 

BDS Sebagai Wahana Boikot Yang Baru
***********************************************
Selepas lebih setahun tanpa tindakan ke atas keputusan ICJ, 170 pertubuhan sivil di Palestin telah bersatu membentuk satu gerakan yang dikenali sebagai ‘Boycott, Divestment and Sanction (BDS) Movement.’ Gerakan ini menuntut agar Israel:
1. Mengakhiri penjajahan dan kolonisasi tanah Arab yang dirampas pada Jun 1967 dan meruntuhkan tembok (apartheid) yang dibina;
2. Mengiktiraf hak asasi warganegara Israel berketurunan Arab Palestin menikmati kesamarataan hak;
3. Menghormati, memelihara dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka sepertimana yang termaktub dalam Resolusi PBB 194.

 

BDS pada mulanya tidak mendapat respon positif; barangkali kerana ideanya dilihat terlalu bombastik. BDS tidak sekadar menyeru kepada boikot konsumer malah turut menyeru kepada boikot akademik dan budaya. BDS juga mengajak kepada pemerkasaan insiatif boikot melalui pendekatan ‘divestment’ dengan menyeru badan-badan awam agar menarik keluar pelaburan mereka daripada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan kezaliman Israel. BDS bahkan menyeru agar dunia mengenakan sekatan ekonomi dan embargo ketenteraan ke atas Israel agar ia akur kepada tuntutan undang-undang antarabangsa. Dengan kata lain, BDS telah meluaskan dan memperkukuh kempen boikot sedia ada sekaligus mengangkatnya ke satu tahap lebih tinggi.

 

Keteguhan, ketegasan dan kebijaksanaan rakyat Palestin dan aktivis BDS sejak 2005 telah membawa gerakan itu ke satu tahap yang sangat membanggakan. BDS mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk orang-orang Yahudi sendiri yang enggan menghalalkan kezaliman atas nama mereka. Hari ini BDS masyhur di seantero dunia sehingga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytihar BDS sebagai ancaman terbesar ke atas Israel; satu pengiktirafan besar ke atas keberkesanan BDS!

 

Israel kerugian berbilion-bilion dolar kesan daripada kempen BDS di seluruh dunia. Kerajaan (Norway, Luxembourg, New Zealand), bank (Nordea, Danske Bank), syarikat korporat (Veolia, Orange, CRH) dan para pelabur (Presbyterian Church, United Methodist Church, PGGM) di Eropah sudah mula berundur dari industri penempatan haram Israel di Tebing Barat. Kesatuan Eropah (EU) juga telah mengeluarkan pekeliling agar produk-produk dari penempatan haram Israel dilabel sebagai produk dari ‘Tebing Barat’ dan bukan lagi sebagai produk Israel bagi mengelak daripada menyokong industri penempatan haram Israel di Tebing Barat. Terbaru (Disember 2016), Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan Resolusi 2334 mengecam pendudukan haram Israel di Tebing Barat.

 

Boikot Israel di Malaysia
****************************
Malaysia secara rasminya tidak mengiktiraf Israel dan ia jelas terpampang dalam pasport setiap daripada rakyat Malaysia: “Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.” Beberapa insiden seperti bantahan penyertaan skuad kriket Israel di Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa 1997 dan atlet perahu layar Israel di Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF YWC) 2015 di Malaysia adalah antara bukti pemulauan Israel oleh rakyat Malaysia.

 

Kempen boikot syarikat yang mesra Israel mula mendapat tempat di Malaysia ketika viralnya fatwa tentang boikot oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi pada tahun 2002. Kempen ini semakin hangat apabila Israel menyerang Gaza pada Disember 2008-Januari 2009. Aktivis kemanusiaan di Malaysia bahkan telah menubuhkan COMPLETE (Coalition of Malaysian NGOs Against the Persecution of Palestinian; kini dikenali sebagai Viva Palestina Malaysia, VPM) dan melancarkan kempen boikot produk-produk konsumer yang telah dikenalpasti menyumbang kepada kelestarian Israel.

 

AQSA SYARIF telah bersama-sama Viva Palestina Malaysia (VPM) memfokuskan kempen boikot kepada 4 syarikat utama iaitu McDonald’s, Nestle, Coca Cola dan L’oreal. Syarikat-syarikat ini dipilih secara strategik daripada senarai boikot yang panjang selepas mengenalpasti sumbangan mereka kepada kelestarian ekonomi Israel juga kepada badan-badan Yahudi pro-Zionis yang sentiasa membela kekejaman dan jenayah Israel.

 

Daripada 4 produk yang disasarkan, McDonald’s merupakan sasaran yang ‘paling mudah’ dan sering menjadi buah mulut. Kempen boikot McDonald’s mencapai tahap tertinggi pasca serangan Israel ke atas Gaza pada Julai-Ogos 2014 apabila rakyat awam sendiri menggerakkan kempen ini. Dengan kata lain, kempen ini telah diangkat sehingga menjadi kepentingan awam (public interest).

 

Penubuhan BDS Malaysia
******************************
Kejayaan BDS di peringkat global telah memberi suntikan semangat kepada AQSA SYARIF dan VPM untuk membawa kempen BDS ke Malaysia. Hasilnya, satu persidangan antarabangsa “BDS for Justice” telah berjaya dianjurkan pada tahun 2015 di Universiti Malaya (UM) yang menampilkan nama-nama besar BDS seperti Ali Abunimah (Pengasas Bersama laman web terkenal Electronic Intifada), Anna Baltzer (Pengarah Program dan Advokasi di US Campaign for Palestinian Rights berketurunan Yahudi-Amerika) dan Samah Sabawi (Pengarah Teater dan Drama berketurunan Palestin-Kanada-Australia dan Penasihat Polisi di Al-Shabaka).

 

Persidangan BDS yang pertama di Malaysia ini kemudian memangkin penubuhan BDS Malaysia pada 29 November 2015 sempena ‘Hari Solidariti Dunia Bersama Rakyat Palestin’. AQSA SYARIF dan VPM turut menjadi NGO anggota BDS Malaysia selain Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) dan Quds Foundation Malaysia (QFM). Hasil tunjuk ajar dan bimbingan daripada BDS National Committee (BNC), BDS Malaysia telah tampil dengan 5 sasaran boikot iaitu Hyundai, Caterpillar, HP, G4S dan Ahava.

 

Berbeza dengan kempen boikot konsumer sebelum ini, kempen BDS memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan penjajahan dan kezaliman Israel yang sedang aktif di Tebing Barat, Jerusalem dan Gaza (wilayah Palestin yang dirampas pada tahun 1967). Sebagai contoh, Hyundai dan Caterpillar menyumbang kepada kezaliman Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin, merampas tanah mereka dan membina penempatan haram di atasnya. HP pula merupakan syarikat yang membekalkan perkhidmatan IT kepada tentera dan polis Israel manakala G4S membekalkan teknologi kepada pos-pos pemeriksaan tentera dan penjara Israel.

 

McDonald’s Digugurkan Dari Sasaran Boikot?
****************************************************
Baru-baru ini muncul penulisan yang mendakwa pengguguran McDonald’s dan beberapa produk lain daripada sasaran boikot kerana produk-produk ini tidak termasuk dalam senarai sasaran BDS global mahupun BDS Malaysia. Dakwaan ini kurang tepat dan mengelirukan.

 

Perlu diperbetulkan di sini bahawa McDonald’s, Nestle dan pelbagai lagi produk konsumer yang disenaraikan oleh Inminds.com dan penggerak-penggerak kempen boikot sebelum kemunculan BDS (selepas ini: Kempen Boikot), majoritinya memang TIDAK PERNAH menjadi sasaran BDS. Ini kerana BDS mempunyai dasar, pendekatan dan fokus yang berbeza dengan kempen-kempen sebelumnya.

 

Berikut adalah antara perbezaan utama BDS dan Kempen Boikot:
1. BDS menjadikan RESOLUSI PBB dan UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA sebagai dasar utamanya; Kempen Boikot tidak mengehadkan dasar mereka kepada resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa semata-mata tetapi turut mengambilkira aspek SEJARAH, KONTEKS DAN PENGKHIANATAN kuasa-kuasa besar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri dalam meluluskan resolusi dan undang-undang sedia ada.
2. BDS tidak beroperasi menggunakan senarai tetapi menggunakan pendekatan kempen menyeluruh ke atas syarikat yang disasarkan meliputi aspek boikot, divestment dan sekatan; Kempen Boikot memanfaatkan dan popular dengan SENARAI boikot.
3. BDS memberi fokus kepada SYARIKAT-SYARIKAT ISRAEL dan MULTINASIONAL yang aktif di Tebing Barat, Jerusalem dan Gaza; Kempen Boikot menyenaraikan SEMUA syarikat termasuk yang aktif di wilayah Palestin 1948 (Israel) mahupun di luar negara asalkan ia menyumbang kepada Israel mahupun badan-badan pro-Israel.

 

Perbezaan ini telah menyebabkan BDS dan Kempen Boikot mempunyai sasaran dan pendekatan yang agak berbeza. Walau bagaimanapun, perbezaan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai penafian kepada usaha mana-mana pihak. Sebaliknya ia perlu dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan inisiatif boikot dan saling lengkap-melengkapi.

 

Justeru itu, sasaran-sasaran boikot sebelum ini masih sah dan wajar diteruskan selagi tiada perubahan kepada asas dan sebab mereka diboikot. Mereka diboikot kerana sumbangan mereka kepada Israel bukan kerana mereka ada atau tiada dalam senarai BDS! Ini jelas.

 

Teruskan Boikot
*******************
Untuk makluman anda, McDonald’s, Nestle, Coca Cola, L’oreal dan pelbagai lagi syarikat yang disasarkan oleh Kempen Boikot masih beroperasi di Israel (malah sebahagian di penempatan haram Israel), di atas tanah milik rakyat Palestin yang majoritinya kini dipaksa tinggal di kem-kem pelarian di Gaza (1.3 juta orang), Tebing Barat (774,167 orang), Lubnan (449,957 orang), Jordan (2,117,361 orang) dan Syria (526,744 orang).

 

Semua pelarian ini berada di bawah pantauan United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), sebuah badan kebajikan khusus untuk melindungi pelarian Palestin. UNRWA ditubuhkan oleh PBB melalui Resolusi UNGA 302 (IV) 1949 pasca Perang Arab-Israel 1948 yang menatijahkan kelahiran negara haram Israel. Kegagalan dunia menyelesaikan isu ini telah menyebabkan mandat UNRWA terpaksa disambung sehingga ke hari ini dengan kos bantuan bernilai berjuta-juta dolar setiap tahun.

 

Baru-baru ini (9 Januari 2017), UNRWA melancarkan dua rayuan (appeal) bernilai $813 juta dolar untuk menampung keperluan pelarian Palestin di Occupied Palestinian Territories, oPT (Gaza, Tebing Barat dan Jerusalem) dan di wilayah serantau (Jordan, Lubnan dan Syria). Siapa agaknya yang menanggung semua kos ini? Israel? Syarikat-syarikat tadi? Wajarkah dunia diminta menanggung semua kos ini sedangkan Israel dan syarikat-syarikat ini senang lenang mengaut keuntungan di atas kesengsaraan orang lain?

 

Kuasa di Tangan Anda!
***************************
Justeru, sokonglah mana-mana kempen boikot yang sah. Dalam waktu yang sama, sokonglah dan bantulah kempen BDS kerana sasaran mereka bukan kecil tetapi syarikat gergasi multinasional. Dahulu syarikat-syarikat gergasi ini boleh mendabik dada kerana kita dilihat tidak mampu mengenakan tekanan kepada mereka. Tapi hari ini BDS telah berjaya membuktikan sebaliknya. Syarikat-syarikat ini kini merasa tidak selesa dan tidak selamat.

 

Berbekalkan mesej yang jelas, sasaran yang strategik dan kempen serentak oleh semua rangkaian BDS di peringkat global, kini kita benar-benar mampu mengenakan tekanan ke atas Israel dan mengubah nasib Palestin melalui jalan boikot. Mahukah anda turut serta?

Kuasa di tangan anda.

 

41 comments

      1. Assalamualaikum dan salam sejahtera , Saya ingin bertanya bagaimana dengan jenama yang patut diboikot business partner bersama jenama yang tidak ada dalam senarai.Itu juga harus diboikot ke?

        1. Waalaikumussalam wr wbt…
          Terima kasih atas pertanyaan tersebut. Untuk jenama-jenama lain, ia memerlukan kajian yang mendalam. Jika kita di Malaysia dapat bersatu hati memboikot 4 jenama di atas, insya Allah ia dapat memberi kesan sewajarnya sebelum kempen boikot seterusnya diadakan. Berkaitan business partner, jika terbukti menggunakan 4 jenama itu, sebolehnya diboikot juga untuk memberikan lebih tekanan. Untuk senarai lain, sila ke: http://bdslist.org/full-list/

    1. Assalamualaikum, saya amat keliru kerana pada tahun-tahun yang lalu ada viral mengeluarkan boikot brg amerika syarikat kerana palestine…. Tetapi sekarang tidak dan ramai yang telah beli barang tersebut seperti iphone dan sebagainya. Saya mula keliru dan risau untuk membeli barangan amerika syarikat. Boleh minta penerangan?

      1. Waalaikumussalam wr wbt.
        Terima kasih atas pertanyaan tersebut. Jawapan ini hanya menjelaskan pandangan MyCARE dan bukan pihak lain. Kami kini fokus kepada pemboikotan 4 jenama yang dikenalpasti menyumbang kepada Israel, selaras dengan pandangan BDS Malaysia. Jenama-jenama tersebut ialah:
        1. Hewlett Packard (HP)
        2. G4S
        3. Caterpillar & Hyundai Heavy Industries
        4. Ahava
        Untuk mengetahui lebih lanjut tentang 4 jenama tersebut dan alasan pemboikotan, sila ke pautan ini: https://www.mycare.org.my/empat-jenama-diboikot-dunia-tetapi-kurang-sambutan-di-malaysia/
        Strategi untuk fokus kepada 4 jenama ini bukanlah kerana tiada jenama lain yang menyumbang kepada Israel, tetapi untuk menumpukan usaha mendesak jenama-jenama tersebut menghentikan perbuatan mereka. Ini lebih berkesan daripada boikot yang tidak selaras dan tidak berdasarkan kajian yang mendalam. Juga, sekiranya didapati sesuatu jenama itu tidak lagi menyumbang kepada Israel, ia akan dikeluarkan daripada senarai boikot.
        Untuk senarai boikot BDS antarabangsa, sila lawati: http://bdslist.org/full-list/

    2. Bg saya sblm nk buat sesuatu yg besar, lakukan lh yg kecil. Maksudnya walaupun jenama2 terkemuka berkenaan tak termsuk senarai boikot BDS, tp ianya Masih menyumbang sokongan kpd Israel walaupun hanya 1 sen sehari mereka sumbangkan. Bermakna mereka tetap menyokong kezaliman Israel. Skg ni byk dh produk alternatif Dr produk tempatan yg kita bole beli & ianya membantu ekonomi tempatan. Itu pendpt sy.

  1. Jadi sebenarnya mcD perlu diboikot atau tak?
    Confuse la sb ramai yg asalnya memboikot dah tak boikot sekarang.

    1. Mohon maaf di atas kelewatan membalas. Sebenarnya dalam isu ini, sesuatu produk itu tidak perlu diboikot lagi sekiranya telah mencapai matlamat. Oleh sebab itu, McDonalds Malaysia tidak lagi menjadi sasaran boikot kami ( Kenyataan MyCARE bertarikh 31 Mac 2018: http://www.mycare.org.my/mycare-tidak-lagi-mensasarkan-mcdonalds-malaysia-di-dalam-kempen-boikot/ )
      Kami kini memfokuskan boikot terhadap 4 jenama ini sehingga matlamat / tujuan dicapai:
      Hewlett Packard (HP)
      G4S
      Caterpillar & Hyundai Heavy Industries
      Ahava
      Maklumat lanjut di: http://www.mycare.org.my/empat-jenama-diboikot-dunia-tetapi-kurang-sambutan-di-malaysia/
      Terima kasih.

      1. Just bec korang lift d boycott on mcd doesnt mean we shd support them.
        We shd buy Malaysian first n Ramly burger pon ada everywhere! N with d pkp ramai je org melayu kita yg oandai masak burger lg sedap lg pd yg ada kat mcd mcm hampas dgg saja!
        N y is there an ustaz promoting mcd punya tabung sdgkn tabung mesjid surau tahfiz byk yg perlu d isi and xoyh ke counter mcd pon blh je infaq online kalau nk contribute to d nation..
        Xperlu pon oegi mcd!

  2. HP berpecah kpd 2 organisasi yg lain2 pengurusan..hp dan Hewlett Packard. hp produce goods..dan Hewlett Packard lebih kepada services…jd boikot keduanya?

    1. Terima kasih di atas pertanyaan tersebut. Berikut adalah jawapan penuh daripada pegawai kami:
      Salam alaykum Faiz. Terima kasih kerana merujuk MyCARE dalam hal ini.
      Benar, HP telah berpecah kepada 3 syarikat (bukan dua) – HP Inc., HP Enterprise (HPE) dan DXC Technology. Legal successor adalah HP Inc.
      Maklumat yg kami ada menunjukkan kontrak2 HP di Israel sebelum ini sebahagian besar telah diambil-alih oleh HPE dan DXC Technology. Namun, HP Inc. sehingga hari ini tidak mendedahkan sejauh mana pengambil-alihan ini berlaku.
      Maklumat rasmi HP Inc. juga menunjukkan bahawa ketiga-tiga syarikat ini masih bekerjasama, masih berkongsi supply chains dan membida kontrak secara bersama (bukan berasingan tetapi secara satu pakej – hardware, software, storage, server, services).
      Justeru, disebabkan tiada pemisahan yang jelas antara ketiga-tiga entiti ini, BDS Movement mengesyorkan supaya ketiga-tiga entiti ini diboikot sebagai satu rangkaian.
      Harap maklum.
      Khalid Jimat, Research & Education, MyCARE

    1. Terima kasih di atas pertanyaan tersebut. Tujuan utama BDS meletakkan sasaran adalah untuk memfokuskan usaha memboikot jenama tersebut, berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan.
      Izinkan kami memberi analogi seperti berikut:
      Terdapat 4 orang lelaki. Masing-masing mempunyai satu pokok untuk ditumbangkan; iaitu pokok A, pokok B, pokok C dan pokok D. Jika setiap orang hanya menumpukan usaha untuk menumbangkan pokok sendiri, ianya akan mengambil masa yang lama.
      Tetapi sekiranya keempat-empat lelaki tadi berganding bahu menumbangkan satu pokok – misal kata pokok A – prosesnya akan menjadi lebih pantas dan mudah. Dan seterusnya mereka boleh beralih ke pokok-pokok lain pula. Begitulah juga dengan misi BDS ini.
      BDS Malaysia sedang menumpukan perhatian kepada jenama-jenama berikut:
      Hewlett Packard (HP)
      G4S
      Caterpillar & Hyundai Heavy Industries
      Ahava
      Maklumat lanjut di: http://www.mycare.org.my/empat-jenama-diboikot-dunia-tetapi-kurang-sambutan-di-malaysia/

  3. Saya sentiasa beli kurma medjoul Palestine Dari ahira Dan buah teen (dried fig fruit) Dari turkey every month,always support our Muslims brothers and sisters from all around the world!

    1. Terima kasih di atas sokongan yang diberi. Ya, salah satu cara untuk membangunkan ekonomi Palestin adalah dengan membeli produk yang hasilnya disalurkan secara sah kepada mereka, bukannya kepada Israel.

      1. Salam. Link yg diletakkan Inminds.com tak dpt dikuka. Boleh saya dptkan link yg baru utk tahu senarai boikot oleh kempen boikot yang lain? Terima kasih.

    1. W’salam wr…
      Mohon maaf atas kelewatan membalas. Kami tidak lagi memboikot Macdonalds. Sila rujuk: https://www.mycare.org.my/mycare-tidak-lagi-mensasarkan-mcdonalds-malaysia-di-dalam-kempen-boikot/
      Kami dan BDS Malaysia sedang menumpukan perhatian kepada jenama-jenama berikut:
      Hewlett Packard (HP)
      G4S
      Caterpillar & Hyundai Heavy Industries
      Ahava
      Buat masa ini, kami mengikut senarai yang disediakan oleh pihak BDS antarabangsa dan juga BDS Malaysia. Untuk update dan senarai jenama lain, boleh lawati:
      https://www.facebook.com/bdsmovementmalaysia/
      http://bdslist.org/full-list/

          1. Admin, mohon admin war-warkan mohon kerjasama page2 famous di Malaysia mcm siakap keli, oh media, video di ML studio, ustaz2 selebriti utk sama2 promote boikot 5 jenama di atas.. jangan abaikan pesanan ini harap dpt dipanjangkn kpd team.. terima kasih

  4. maaf, pada pendapat saya 4 senarai tu bukannya orang malaysia secara umumnya kenal sangat dan juga jarang berurusan kecuali hp.. orang ramai secara umumnya pun bukan beli hari-hari 4 produk tu… dan perkara ini sangat tidak mendidik masyarakat dan juga tidak memberikan kegerunan pada syarikat2 lain yang terlibat.. saya cadangkan semua produk2 yang dikenali dimalaysia terutamanya makanan yang ada kaitan dan hubungan mesra dengan israel disenaraikan juga sebagai satu bentuk
    protes kepada mereka.. nthen mycare boleh letakkan disebelahnya alternatif bagi produk2 lain yang lebih baik… dengan cara tersebut kampen boikot akan lebih meluas dan praktikal untuk semua lapisan masyarakat terlibat sama… dan sekali gus dapat membantu syarikat2 yang sepatutnya kita sebagai rakyat malaysia utamakan.. tak perlu mycare tolong fokus siap2 4 empat barang tetapi senaraikan semua barang dan biarkan pengguna sendiri memilih dan fokus 4 barang yang mereka mampu untuk boikot.. orang cerdik pandai berpesan jika tak mampu melakukan semua, jangan
    ditinggalkan semua… 4 barang yang disuggest mycare tu tak salah cuma tidak menyeluruh.. bagi saya boikot ini bukan soal berjaya atau gagal tetapi ianya soal mendidik masyakarat supaya prihatin tentang saudara-saudara kita yang ditindas di seluruh dunia.. jika dalam 100 item yang disenaraikan tetapi seseorang itu hanya mampu boikot satu item pun bagi saya itu satu kejayaan… sekadar pandangan…

    1. Kami mempunyai 4 sasaran boikot berstrategi sekarang iaitu:

      1. Puma
      2. G4S
      3. Hewlett Packard (hp)
      4. Caterpillar

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Harapan baru untuk Syria

Rakyat Syria masih berperang — bukan dengan senjata, tapi dengan kelaparan, kehilangan, dan kesedihan.   Rakyat Syria memerlukan bantuan segera untuk membina semula kehidupan —

[Banjir] Operasi di Kelantan

Sukarelawan telah turun ke depo barangan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri di RTC, Tunjong untuk menyumbang tenaga pada 6 dan 7 Disember