SUMBANGAN KEDUA TERTINGGI, KOS PENGURUSAN TERENDAH SEJAK 2010
Sungguh, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya… {An-nisa’ : 58}
Sepertimana tahun-tahun yang lalu, hari ini suka kami kongsikan ringkasan ‘Laporan Kewangan 2021 MyCARE’ yang telah diaudit dan dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 31 May 2022.
Alhamdulillah sepanjang tahun 2021, MyCARE telah menerima sumbangan berjumlah RM29,191,236.29. Ini adalah sumbangan tahunan kedua tertinggi yang pernah diterima oleh MyCARE sepanjang penubuhannya sejak tahun 2010. Ia adalah peningkatan sebanyak 57% daripada sumbangan yang diterima sepanjang tahun 2020.
Tiga penyumbang utama dana kemanusiaan MyCARE bagi tahun 2021 adalah dari Tabung Palestin Diserang (RM8 juta), Tabung Kemanusiaan Rohingya (RM3 juta) dan Projek MyQurbani yang meningkat daripada RM1.56 juta pada tahun 2020 kepada RM2.13 juta pada tahun 2021.
Peningkatan ini juga adalah hasil daripada peningkatan sumbangan luar negara berjumlah RM4.25 juta atau 14.6 % berbanding hanya 5% pada tahun 2020. Antara penyumbang utama dari luar negara adalah Ummah Welfare Trust (UK) RM2.1 juta, Madani Limited (Singapura) RM648,000, AusRelief (Australia) RM640,000, Human Initiative (Indonesia) RM550,000 dan Human Appeal (Australia) RM254,000.
Peningkatan sumbangan dari luar negara ini mencerminkan peningkatan kepercayaan NGO-NGO luar negara kepada MyCARE untuk melaksanakan projek-projek bantuan bagi pihak mereka.
Untuk tahun 2021, sejumlah RM24.4 juta atau 85.9% daripada wang yang diterima telah diagihkan dalam pelbagai bentuk bantuan ke 20 buah negara termasuk Malaysia. Antara agihan bantuan terbesar di dalam negara adalah RM900,000 untuk Bantuan Kecemasan COVID-19 dan RM386,000 untuk Bantuan Kecemasan Banjir di Lembah Kelang.
Peratus sumbangan ini selaras dengan komitmen MyCARE supaya sekurang-kurangnya 85% daripada jumlah sumbangan yang diterima disampaikan kepada penerima.
MyCARE telah menetapkan kos siling untuk pengurusan mestilah tidak melebihi 15% daripada jumlah sumbangan yang diterima. Alhamdulillah sejak penetapannya pada tahun 2015, kos pengurusan MyCARE konsisten berada di bawah paras 10%. Untuk tahun 2021, kos pengurusan MyCARE adalah 4.3% sahaja; turun 1.6% berbanding tahun 2020. Ini adalah kos pengurusan yang terendah sejak penubuhan kami!
Penurunan kos pengurusan ini antaranya berpunca daripada sumbangan tahunan yang meningkat tinggi (dari RM18.6 juta kepada RM29.2 juta) sedang dalam waktu yang sama perbelanjaan pengurusan MyCARE meningkat sedikit sahaja dari RM1 juta kepada RM1.2 juta.
Penurunan kos pengurusan ini juga berpunca daripada peningkatan sumbangan langsung pengurusan dan hasil pulangan pelaburan yang baik. Ini membolehkan sekitar 38% dari kos pengurusan MyCARE tidak diambil daripada sumbangan awam tetapi ditampung oleh hasil pelaburan dan sumbangan langsung pengurusan.
Kami berharap pengurusan yang cekap dan berhemah dapat terus meminimakan kos tetapi pada masa yang sama menjana sumbangan yang lebih besar.
Penjimatan kos pengurusan ini telah menghasilkan lebihan yang lebih besar untuk Tabung Kecemasan dan Pelaburan dari RM1.4 juta kepada RM2.78 juta. Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, Tabung Kecemasan ini kami manfaatkan untuk penyaluran bantuan segera ketika bencana (seperti banjir dan perang) sementara menunggu kemasukan sumbangan orang ramai. Tabung Pelaburan pula kami manfaatkan untuk menjana tambahan dana untuk menampung kos pengurusan.
Kami merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kekuatan yang diberikan untuk melaksanakan amanah yang besar ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa menyokong usaha-usaha kemanusiaan MyCARE.
Pencapaian ini adalah pencapaian kita semua!
Laporan penuh audit boleh dirujuk di laman sesawang MyCARE 👉🏼 https://www.mycare.org.my/laporan-audit/