BAGAIMANA MyCARE URUSKAN SEDEKAH ANDA RAMADAN INI?

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dipanjangkan umur dan diberikan peluang sekali lagi untuk bertemu dengan bulan Ramadan al-Mubarak.

 

Ramadan adalah sebaik-baik bulan. Ia adalah bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

 

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Di dalamnya ada sebaik-baik malam iaitu malam lailatul qadar; malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

 

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, 1-3)

 

Dan ia adalah bulan umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kerana pahala setiap amalan akan digandakan. Antara amalan yang dianjurkan termasuklah amalan bersedekah.

 

Anas RA bertanya kepada Nabi SAW: “Sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Rasulullah SAW: Sedekah di bulan Ramadhan.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

 

Sebab itulah Ramadan adalah antara bulan yang paling sibuk di MyCARE kerana kami akan menerima amanah daripada ribuan penyumbang untuk menguruskan sedekah mereka sepanjang bulan ini. Sedekah terkumpul yang disumbangkan pula mencecah jutaan ringgit.

 

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana MyCARE menguruskan sumbangan orang ramai sepanjang bulan Ramadan. Maklumlah, jumlahnya besar dan tempoh pelaksanaannya pula agak singkat. Pasti ada cabarannya yang tersendiri.

 

InsyaAllah dalam pos ini, saya akan kongsikan kepada anda sedikit sebanyak bagaimana MyCARE menguruskan wang sumbangan anda Ramadan ini. Jom!

 

Agihan pek makanan MyRamadan di Flat Seri Sarawak, Malaysia

 

TETAPKAN SASARAN

Pertama sekali kami akan tetapkan sasaran. Sasaran tidak terhad hanya kepada jumlah kutipan dan agihan bantuan semata-mata tetapi termasuk juga ke mana kami mahu salurkan sedekah yang diterima.

 

Ikutkan memang sangat ramai yang memerlukan bantuan di luar sana. Senarainya panjang. Jumlah yang diperlukan pula sangat besar. 

 

Tapi kapasiti MyCARE terhad. Jadi, kami perlu ukur baju di badan sendiri. Kami hanya buat penawaran berdasarkan anggaran kutipan yang mampu dicapai. Kalau lebih kami salurkan lebih. Kalau terkurang kami terpaksa catu. Tapi kalau keperluan benar-benar mendesak, kami akan korek dari tabung umum atau tabung simpanan.

 

Alhamdulillah, selepas melihat dan menilai data sedia ada, serta mempertimbangkan keadaan ekonomi pasca pandemik Covid-19, kami mensasarkan kutipan sebanyak RM2.8 juta untuk tahun 2023. Kutipan ini akan disalurkan ke 15 buah negara termasuk Palestin, Syria, Yaman, Myanmar, Filipina dan Malaysia. 

 

Tahun lepas 14 negara. Tahun ini MyCARE tambah satu lagi negara penerima iaitu Turkiye ekoran gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

 

RM2.8 juta? Cukup ke?

 

Memang tak cukup. Tapi insyaAllah kita saling tampung menampung dengan NGO lain; baik dari Malaysia mahupun dari negara lain. Macama saya sebutkan tadi, kalau dapat lebih kami salurkan lebih.

 

InsyaAllah RM2.8 juta ini dianggarkan mampu memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima. Harapnya sumbangan ini dapat mengukir sedikit senyuman di wajah mereka Ramadan ini.

 

Pembungkusan pek makanan MyRamadan di Gaza

 

PILIH RAKAN PELAKSANA

Seterusnya ialah kami akan pilih rakan pelaksana (NGO) di negara-negara yang telah disenarai pendek. Ini kerana MyCARE hanya ada cawangan di Malaysia dan di Gaza, Palestin sahaja. Agihan di negara-negara lain akan dilaksanakan oleh rakan-rakan pelaksana yang dilantik.

 

Hampir 60% agihan akan dilaksanakan oleh rakan pelaksana yang telah disahkan mempunyai rekod prestasi pelaksanaan yang baik dan tersusun. Sebahagian telah pun bekerjasama dengan MyCARE lebih 10 tahun.

 

Ada juga agihan yang dilaksanakan oleh NGO baru. Pemilihan NGO baru dibuat sama ada kerana NGO sebelumnya mempunyai rekod yang kurang memuaskan atau kerana MyCARE mahu meluaskan jaringan kerjasama di negara berkenaan atau kerana lokasi agihan merupakan lokasi baru yang memerlukan pelantikan rakan pelaksana yang baru.

 

Kesemua rakan pelaksana akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyCARE sebagai persetujuan awal kerjasama. Ini akan diikuti dengan tandatangan Perjanjian Tingkat Layanan (Service-Level Agreement, SLA) yang lebih terperinci selepas nilai pelaksanaan dipersetujui dan disahkan.

 

Wah, NGO pun ada MoU dan SLA? Ada bang, duit amanah ni. Bukan sikit. Juta-juta ni.

 

Baki 40% agihan akan dilaksanakan sendiri oleh MyCARE sama ada di Malaysia mahu pun melalui pejabat cawangan di Gaza, Palestin.

 

Agihan pek makanan MyRamadan di Somaliland

 

PENGUMPULAN DANA

Langkah seterusnya ialah mengumpul dana. 

 

Mengikut rekod, kutipan Ramadan MyCARE yang tertinggi ialah RM3.5 juta. Ini tidak termasuk kutipan ketika waktu perang di Palestin yang kadang-kadang berlaku pada bulan Ramadan. Kutipan ketika perang memang boleh mencecah 4-5 kali ganda.

 

Proses pengumpulan dana bermula mulai bulan Rejab. Bukan tak nak buat awal lagi. Perangai rakyat Malaysia setakat ini memang masuk bulan Ramadan barulah mereka menyumbang. Memang betul-betul ambil berkat sedekah Ramadan. Yang tunggu dan tahan sedekah sampai masuk 10 akhir Ramadan pun ada.

 

Inilah yang buatkan kami kadang-kadang terkejar-kejar untuk laksanakan projek di akhir Ramadan. Selagi mampu kami cuba juga sedaya upaya untuk salurkan sebelum akhir Ramadan. 

 

Tapi kalau tiada rezeki, memang ke Ramadan tahun depanlah jawabnya. Apa pun pahala bersedekah di akhir Ramadan tu sudah tertunai. Hanya di pihak kami sahajalah yang masih tertunda untuk menyampaikannya. Sebab itu kalau boleh, saya nasihatkan sumbanglah seawal yang mungkin. Tak perlu tunggu sehingga akhir Ramadan.

Agihan pek iftar dan berbuka di kem pelarian di Syria

PENYALURAN BANTUAN

Alhamdulillah, beberapa minggu sebelum Ramadan kami sudah pun terima sejumlah dana daripada beberapa NGO luar negara untuk agihan ke Palestin, Kemboja dan Filipina. Ini hasil libat urus beberapa tahun sebelum ini. Daripada melaksanakan projek sendiri, MyCARE juga kini menjadi pelaksana kepada NGO luar negara.

 

Ditambah dengan sumbangan awal orang ramai dan sedikit dana daripada tabung umum MyCARE, kami telah mula menyalurkan dana FASA PERTAMA kepada rakan pelaksana supaya persediaan dapat dibuat untuk agihan seawal minggu pertama Ramadan.

 

Sebelum ini timbul fitnah sumbangan rakyat Malaysia ke Palestin tak sampai. Macam mana boleh salurkan duit ke Palestin? Ada bank ke di sana?

 

Ya, di Palestin ada bank. Bank of Palestine dan Quds Bank adalah dua bank di Palestin yang boleh terima dana dari luar negara. Sebagai pertubuhan rasmi yang berdaftar di Palestin, MyCARE mempunyai akaun di Palestin untuk tujuan ini.

 

Tapi masih ada orang pertikai: “Saya pernah cuba hantar duit ke Palestin melalui TT (telegraphic transfer) tapi tak lepas. Kena reject. Macam mana NGO boleh lepas? Saya hantar sikit pun tak lepas!”

 

Tipulah kalau kami kata duit yang kami hantar ke Palestin sentiasa lepas dan tak pernah kena ‘reject’. Duit yang kami salurkan memang pernah kena tolak atau ditahan untuk beberapa waktu sebelum dilepaskan oleh bank perantara (intermediary bank).

 

Ini lumrah dan cabaran yang kami perlu hadap. Tapi perjuangan tetap perlu diteruskan. Tak lepas kali pertama, kami cuba kali kedua, ketiga dan seterusnya. Tak lepas di Bank of Palestine kami cuba melalui Quds Bank pula.

 

Agihan pek iftar di Gaza

 

PEROLEHAN & LOGISTIK

Penghantaran wang hanyalah sebahagian daripada proses penyaluran bantuan. Yang paling mencabar sebenarnya ialah proses untuk mendapatkan bekalan barang-barang yang ingin disalurkan dan pengurusan logistiknya.

 

Paling mencabar sekali ialah di Gaza; wilayah yang dikepung dan dikenakan sekatan oleh Zionis Israel sejak tahun 2006. Dah lebih 17 tahun.

 

Untuk mendapatkan dan membawa masuk bekalan barang-barang dalam kuantiti yang besar ke dalam Gaza adalah satu proses yang rumit dan panjang. Pelbagai dokumentasi perlu disediakan dan sesi rundingan perlu dijalankan. Justeru, proses ini dijalankan beberapa bulan lebih awal menggunakan anggaran terbaik (best estimate).

 

Zionis Israel tak akan sesekali membenarkan barang-barang dibawa masuk ke Gaza tanpa melalui pemeriksaan terperinci. Mereka sangat takut NGO kemanusiaan digunakan untuk seludup masuk senjata ke dalam Gaza. Paranoid sungguh.

 

Dalam banyak kes, kami perlu berurusan dengan lebih daripada 3 pembekal untuk memastikan barang yang dibawa masuk mencukupi dan menepati kualiti yang dikehendaki.

 

Kami juga amalkan sistem tender terbuka bagi mendapatkan harga yang berpatutan daripada pembekal. Sifirnya mudah. Lagi banyak yang kami dapat jimat, lagi ramai yang akan mendapat manfaat.

 

Alhamdulillah sebahagian besar pembekal bersedia untuk membekalkan barang-barang terlebih dahulu sebelum menerima apa-apa bayaran. Kredibiliti dan reputasi MyCARE di Gaza pada tahun-tahun sebelum ini banyak membantu melicinkan proses ini.

 

Sebelum ini, Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine merencatkan sedikit proses ini kerana negara-negara pembekal ingin mengutamakan bekalan dalam negara masing-masing. Harapnya Ramadan tahun ini lebih baik. Doakan.

 

Pembelian baju raya untuk anak-anak Palestin

 

 

PEMBUNGKUSAN DAN AGIHAN

Selepas barang-barang berjaya diperoleh, proses seterusnya ialah membungkus dan mengagihkan barang-barang. Proses ini memerlukan ramai tenaga kerja. Alhamdulillah di banyak tempat ramai sukarelawan bersedia untuk menabur bakti.

 

Sebahagian besar yang menjadi sukarelawan adalah dari kalangan mereka yang pernah menerima bantuan daripada MyCARE sama ada bantuan pendidikan, kesihatan, sara hidup (keluarga miskin dan anak yatim) dan bantuan sosioekonomi (eg. pinjaman qardhul hasan, projek pertanian dll). Mereka tidak keberatan untuk membantu MyCARE selepas mereka dibantu.

Agihan bantuan MyRamadan di Timor Leste

 

***

Inilah serba sedikit kisah bagaimana MyCARE uruskan sumbangan anda setiap kali tiba bulan Ramadan. Walaupun mungkin kelihatan sibuk di bulan Ramadan sahaja, kayuhan sebenarnya telah dibuat beberapa bulan sebelumnya.

 

Kepada yang ingin menyumbang, boleh DERMA DI SINI

 

ATAU

 

salurkan terus ke akaun:

Humanitarian Care Malaysia Berhad

CIMB : 8602 135 592

Rujukan: Ramadan

 

Hantar bukti pembayaran jika melalui bank transfer ke:

http://wasap.my/60166366369 atau e-mel campaign@mycare.org.my

 

Sudi-sudi jugalah kiranya untuk kongsikan LINK SUMBANGAN ini kepada rakan-rakan yang lain agar lebih ramai mendapat bantuan.

 

Semoga dengan sumbangan ini, Allah SWT akan berkati hidup kita, lepaskan kita daripada kesusahan di akhirat dan memasukkan kita di kalangan orang-orang yang Dia cintai. Ameen.

 

Rasulullah SAW pernah berkata: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

 

– Khalid Jimat,

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

[MyPrihatin] Bantuan untuk pelajar asnaf

Bantuan MyPrihatin untuk Nurul Wakhidah binti Mohd Amin, seorang pelajar berusia 25 tahun bertujuan untuk meringankan cabaran yang dihadapinya setelah pembedahan otak yang menyebabkan penyakit

[Kecemasan] Bantuan Lubnan

Alhamdulillah, MyCARE dengan kerjasama Human Association for Relief and Development telah berjaya mengagihkan 500 pek makanan kepada mereka yang paling memerlukan di Lubnan, yang terdiri

[Kecemasan] Bantuan Mangsa Banjir Myanmar

Pada 16 Oktober yang lalu, MyCARE berjaya melaksanakan agihan bantuan beras kepada komuniti Islam yang terjejas di Kyautaw, Myanmar. Agihan ini melibatkan 210 keluarga penerima