Hari Ini Dalam Sejarah | 15 Mac 2011 | Ulangtahun Kebangkitan (Thaurah) Rakyat Syria

 
Tanggal 15 Mac merupakan detik bersejarah bagi pendokong aspirasi rakyat di seluruh pelusuk dunia kerana ia merupakan permulaan kepada sebuah kebangkitan rakyat di Syria. Setelah bertahun-tahun hidup di bawah pemerintahan diktator rejim al-Assad, rakyat Syria telah bangkit menyahut seruan Arab Spring untuk menuntut demokrasi, kebebasan, keadilan dan pembasmian amalan rasuah di dalam pemerintahan.
Kebangkitan ini cuba dikekang oleh Presiden Bashar al-Assad melalui pengisytiharan tamatnya pemerintahan darurat yang telah berkuatkuasa sejak 1960-an, persetujuan untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan komitmen untuk membina kerajaan yang bersih. Namun, tindakan keras yang diambil pihak polis dan tentera ke atas rakyat yang berhimpun secara aman telah menyemarakkan lagi suara rakyat untuk menuntut perubahan.
Dari satu Jumaat ke satu Jumaat, suara rakyat semakin lantang. Menjelang Mei, perhimpunan rakyat telah merebak ke hampir semua bandar-bandar utama di Syria dan jumlah yang berhimpun semakin bertambah saban minggu. Pihak rejim walau bagaimanapun terus-menerus menggunakan kekerasan ke atas rakyat. Sehingga penghujung Mei 2011, sekurang-kurangnya 1,000 orang awam terkorban dalam pertembungan dengan pihak polis dan tentera.
Tindakan kejam rejim al-Assad membunuh rakyat sendiri diprotes oleh sebahagian daripada anggota polis dan tentera kerajaan. Antara pertembungan terawal antara sesama anggota polis dan tentera ialah di bandar Jisr al-Shugur, Idlib pada awal bulan Jun. Sebahagian anggota polis dan tentera telah bertindak keluar selepas menyaksikan rakan-rakan mereka dibunuh oleh pegawai perisikan kerajaan kerana enggan melepaskan tembakan ke arah orang awam.
Menjelang Julai, jumlah anggota polis dan tentera yang keluar semakin bertambah. Tidak tahan melihat rakyat Syria terus-menerus diperlakukan dengan kejam oleh rejim al-Assad, anggota-anggota tentera ini telah bersama-sama rakyat membentuk sebuah pasukan tentera yang dikenali sebagai ‘Tentera Pembebasan Syria’ (Free Syrian Army, FSA). Pelbagai kumpulan bersenjata lain turut muncul dalam usaha rakyat mempertahankan diri daripada serangan kejam rejim al-Assad.
Kini, selepas 6 tahun berlalu, kebangkitan di Syria telah bertukar kepada konflik perang dengan wajah yang sangat buruk dan kesan yang sangat mendukacitakan. Bashar al-Assad tergamak meneruskan polisi kejam membunuh rakyat sendiri semata-mata untuk terus kekal berkuasa. Bashar al-Assad sanggup menggadai kedaulatan Syria dengan membenarkan campurtangan sekutu-sekutunya – Rusia, Iran, Iraq, Hezbollah dan militan-militan Syiah dari Pakistan dan Afghanistan, demi menundukkan kebangkitan rakyat. Bashar bahkan melabel semua musuh politiknya sebagai pengganas seperti ISIS untuk menghalalkan serangan kejam yang dilakukan ke atas penempatan awam.
Setakat ini, hampir setengah juta rakyat Syria telah terkorban dan lebih 12 juta orang kehilangan tempat tinggal; sekaligus meletakkan konflik ini sebagai tragedi kemanusiaan terbesar di dunia pada hari ini. Kemusnahan begitu berleluasa. Jumlah kerugian sukar dijangkakan. Masa depan Syria terus terumbang-ambing dengan rundingan damai masih menemui jalan buntu.
Walaupun situasi semasa sangat mendukacitakan, apa yang berlaku akan tetap diingati sebagai sebuah kebangkitan rakyat menuntut kebebasan, keadilan dan kehormatan. Ia adalah sebuah kebangkitan rakyat yang tulen kerana rakyat benar-benar membayar harganya – dengan darah dan air mata. Mereka masih meneruskan perjuangan dari segala aspek – ketenteraan, politik, perundangan, pendidikan, kemanusiaan dan sebagainya. Dan mereka akan terus berjuang sehingga mereka mengecapi kemenangan kerana ia adalah hak yang layak mereka peroleh sebagai manusia.
Yang tewas pada hari ini ialah golongan yang terus-menerus mempertahan rejim diktator Bashar al-Assad dan sekutu-sekutunya yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing. Mereka telah mengeluarkan belanja berbilion-bilion dolar untuk menjayakan kempen ketenteraan mereka dengan pelbagai kelengkapan perang. Namun, senjata canggih mereka masih tidak berjaya melunturkan semangat rakyat Syria yang terus berjuang sehingga saat ini. Mereka telah terjebak begitu jauh dan keangkuhan telah membutakan mata mereka untuk melihat kebenaran.
Justeru, ayuh bersama kita berdiri di belakang perjuangan rakyat Syria dan sama-sama kita berusaha untuk memastikan perjuangan ini berakhir dengan kemenangan.
Khalid Jimat,
Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence – PACE
HIDS_Syria-Uprising-2

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

XM x MyCARE bawa anak yatim ke dunia sains

Terima kasih kepada XM atas sokongan bagi menjayakan program Exploring Science: A Journey Into Discovery bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Asnaf Qaseh Ibu. Program

[MyPrihatin] Bantuan untuk pelajar asnaf

Bantuan MyPrihatin untuk Nurul Wakhidah binti Mohd Amin, seorang pelajar berusia 25 tahun bertujuan untuk meringankan cabaran yang dihadapinya setelah pembedahan otak yang menyebabkan penyakit