Penderitaan penduduk Gaza, Palestin terus menjadi tumpuan pelbagai pihak yang gigih mengumpulkan sumbangan untuk membantu mangsa serangan rejim Israel.
Dalam usaha meringankan beban mereka, seorang wanita hebat, Nurul Islah, 25 tahun, seorang OKU dan survivor kanser otak bersama ayahnya, Haji Mohd Shah Awaluddin akan menjalankan Program Kayuhan Amal Kemanusiaan Jelajah Selangor.
Inisiatif Nurul Islah atau lebih dikenali sebagai Kok Cik adalah anjuran Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak PPUKM CAKNE, TDC Care Bhd, dan Awfatech Global Sdn Bhd dengan kerjasama MyCARE.
Kayuhan amal ini bertujuan mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 1 juta dan akan berlangsung dari 13 sehingga 25 November ini yang dijangka disertai oleh 2,000 peserta sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 500 km.
Kayuhan akan bermula di hadapan Wisma TDC, Kajang, dan merentasi beberapa destinasi termasuk Kuala Kubu Bharu, Sabak, Sekinchan, Jeram, Kapar, Morib, sebelum mengakhiri perjalanan di Bagan Lalang.
Tujuan utama pengumpulan sumbangan melalui kayuhan kemanusiaan ini adalah untuk membantu membangun semula Gaza, selain menyalurkan bantuan mendesak seperti peralatan perubatan dan keperluan asas termasuk bantuan makanan yang disusun oleh MyCARE.
Selain itu, dana yang terkumpul juga akan digunakan untuk membantu kos perubatan kanak-kanak Gaza yang menghidap kanser.
Penduduk Gaza sangat memerlukan bantuan untuk mengurangkan beban mereka termasuk bantuan perlindungan, bantuan perubatan, pembangunan semula hospital, serta memastikan keperluan asas terpenuhi agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan harapan.
Selain mengekspresikan solidariti kemanusiaan kepada orang awam, kayuhan ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kanser kanak-kanak dan OKU, sambil mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.
TDC Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat jualan langsung yang 100% dimiliki oleh Muslim dan ditubuhkan sejak 2016, turut menyumbang dengan menjadi penaja utama dengan sumbangan RM10,000.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Tuan Haji Mohd Shah di talian +60 11-10631076 atau lawati https://gaza.cakne.org.my
Mari bersama-sama memberikan sokongan kepada inisiatif kemanusiaan ini.