Perutusan Ramadan 1438H

Assalamualaikum wbt,
Bulan Ramadhan adalah bulan penuh barakah lagi dimuliakan. Di dalamnya diturunkan al-Quran dan ia bulan yang mengandungi malam lailatul qadar; malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Dalam bulan ini, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan amal kebajikan – imanan wahtisaban – dalam keadaan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah SWT. Justeru, menjadi kelaziman kepada umat Islam untuk menggandakan amal ibadah dan kebajikan di dalam bulan Ramadhan untuk menyambut tawaran lumayan daripada Allah SWT ini.
Di dalam bulan Ramadhan, umat Islam dituntut untuk melaksanakan ibadah puasa, membayar zakat fitrah, mendirikan solat sunat tarawikh secara berjamaah, membanyakkan tilawah al-Quran, tasbih, tahmid dan istighfar, memakmurkan masjid dengan aktiviti iktikaf, menghidupkan malam dengan solat sunat tahajud, witir dan seumpamanya. Selain itu, umat Islam juga dituntut untuk mengasuh diri bersabar, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan diri, bersopan santun, bersedekah serta merasai sendiri kepayahan, kelaparan dan kekurangan yang ditanggung oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan kurang upaya. Semua ini dalam rangka untuk membersihkan jiwa, menghubungkan silaturrahim dan melahirkan peribadi yang bertaqwa sesuai dengan firman Allah SWT:

 “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.“ (Al-Baqarah:183)

Sempena bulan Ramadhan 1438H, MyCARE bersama agensi-agensinya – Aqsa Syarif, i4SYRIA, Rose2Rose, Nusantara Care dan Salam Iraq, menganjurkan ‘Kempen MyRamadan 1438H’ untuk memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia meraih ganjaran pahala berlipat ganda di bulan Ramadhan melalui amalan bersedekah.
Tampil sekali lagi dengan tema ‘Ibadah Kita, Kegembiraan Mereka’, MyCARE mensasarkan kutipan sebanyak RM5 juta untuk mengagihkan bantuan makanan (iftar, sahur, pek makanan) dan hadiah hari raya kepada umat Islam yang memerlukan di 21 buah negara. Sebahagian besar daripada bantuan ini akan disalurkan kepada:

  1. Rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa, Gaza dan di kem-kem pelarian di Lubnan;
  2. Rakyat Syria di Syria dan di kem-kem pelarian di Turki, Lubnan dan Jordan; dan
  3. Etnik Rohingya yang berlindung di Malaysia mahu pun yang berada di Myanmar.

Semua ini dilakukan agar mereka dapat menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidil Fitri dalam suasana penuh rahmah dan kasih sayang hasil keprihatinan saudara seagama.
Bagi memeriahkan lagi kempen yang dijalankan, MyCARE turut mengatur ‘Program Imam Palestin‘ dan ‘Program Pembela Ummah‘. Melalui program Imam Ramadhan, MyCARE akan membawa hufaz dari Palestin untuk mengimamkan solat tarawih dan menyampaikan tazkirah perkembangan terkini umat Islam di Palestin di masjid-masjid terpilih seluruh negara. Melalui program ‘Pembela Ummah’ pula, MyCARE akan berkongsi isu-isu kemanusiaan sejagat di pejabat, sekolah, universiti, masjid dan surau seluruh Malaysia. Kedua-dua program ini diharapkan dapat menyegarkan semangat persaudaraan sesama Islam dalam diri masyarakat seterusnya menggalakkan orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada saudara muslim yang memerlukan.
Selain itu, MyCARE juga akan menghantar ‘Misi Bantuan Ramadhan 1438H’ ke beberapa negara yang telah disasarkan. Penghantaran misi ini diharap dapat membantu proses pemantauan penyaluran sumbangan, pendokumentasian projek dan pengumpulan maklumat untuk projek-projek yang akan datang.
Sehubungan dengan itu, MyCARE ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama kami dalam ‘Kempen MyRamadan 1438H’ pada tahun ini. Marilah kita menyahut seruan Nabi SAW:

“Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

MyCARE mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat mendirikan ibadah puasa. Semoga Allah menerima semua amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini dan semoga kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
 
“Nurturing Humanity, Making a Difference”
PROF. MADYA DR. HAFIDZI MOHD NOOR,
Pengerusi, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

XM x MyCARE bawa anak yatim ke dunia sains

Terima kasih kepada XM atas sokongan bagi menjayakan program Exploring Science: A Journey Into Discovery bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Asnaf Qaseh Ibu. Program

[MyPrihatin] Bantuan untuk pelajar asnaf

Bantuan MyPrihatin untuk Nurul Wakhidah binti Mohd Amin, seorang pelajar berusia 25 tahun bertujuan untuk meringankan cabaran yang dihadapinya setelah pembedahan otak yang menyebabkan penyakit