“Terima kasih datang, jangan lupakan kami, datang lagi nanti.” Itu antara luahan adik-adik dari Tahfiz Al-Amin MyCARE kepada pelajar SRIIH, Rawang selepas selesai beraktiviti.
*********
Seawal jam 7.30 pagi, rombongan dari Kelab MyCARE, Sekolah Rendah Islam Integrasi Hira’, Rawang (SRIIH) bergerak ke ibu pejabat MyCARE dengan menaiki bas dari Rawang. Setibanya adik-adik ini di MyCARE, mereka disambut mesra oleh kakak dan abang sukarelawan dengan senyuman ceria.
Sesi lawatan dimulakan dengan perkenalan bersama kesemua sukarelawan disusuli dengan perkongsian motivasi berkaitan Pengenalan Sukarelawan dan Latar Belakang Komuniti Rohingya serta taklimat ringkas aktiviti. Pelajar SRIIH, Rawang juga turut berpeluang ‘meneroka’ bangunan 4 tingkat ibu pejabat MyCARE yang terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya bilik latihan, bilik mesyuarat, surau, dewan seminar, pantri dan lain-lain.






Aktiviti diteruskan dengan perjalanan kira-kira 15 minit ke Maahad Tahfiz Al-Amin bagi aktiviti explorace bersama mereka. Kakak dan abang sukarelawan nampaknya tidak menunggu lama untuk memanaskan lagi hari yang sedia ada cerah lagi terang dengan terus menjalankan sesi suai kenal seterusnya membahagikan kesemua anak-anak lelaki SRIIH dan Tahfiz kepada beberapa kumpulan tanpa mengira sekolah yang hasilnya, berjaya membina hubungan mesra antara sesama mereka.
Selepas beraktiviti, wajah sugul dan muram kedua-dua kumpulan anak-anak ini jelas terzahir saat menghulurkan salam perpisahan sebelum pulang ke destinasi masing-masing. Malah ada yang segera memeluk erat sahabat yang baru dikenali ini sehingga bergenang air mata.








Semoga program lawatan sambil belajar dan explorace ini bukan sahaja menerbitkan rasa syukur dalam diri setiap peserta, malah memberikan inspirasi serta menambahkan lagi semangat kesukarelawanan dan persaudaraan dalam diri anak-anak SRIIH, Rawang.
Jutaan terima kasih buat semua yang terlibat termasuk Jawatankuasa Surau Al-Ikhlas Taman Seri Serdang dan penduduk sekitar kerana mengizinkan aktiviti ini dilaksanakan dalam ruangan solat dan sekitar kawasan taman permainan komuniti.