1. Khamis lepas, 24 Ogos 2017, menyaksikan satu lagi episod keganasan oleh pihak tentera Myanmar (Tatmadaw) ke atas etnik Rohingya di Arakan (Rakhine).
2. Serangan ini menyusul sehari selepas Kofi Annan, Pengerusi Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine, menyerahkan laporan akhir badan tersebut kepada kerajaan Aung San Suu Kyi dan hampir 2 minggu selepas pihak tentera menghantar lebih ramai tentera ke wilayah utara Arakan – Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung, dan mengenakan perintah berkurung (6 petang hingga 6 pagi) ke atas lebih 800,000 etnik Rohingya di wilayah tersebut.
3. Laman berita Al-Jazeera pada 23 Ogos 2017 melaporkan sekurang-kurangnya 3,500 orang etnik Rohingya telah lari menyelamatkan diri lebih awal ke kem pelarian di Kutupalong dan Nayapara, di sempadan Bangladesh-Myanmar selepas menjangkakan serangan terbaru oleh pihak tentera.
4. MyCARE menerima berita dan gambar tentang serangan ini melalui media sosial pada hari Jumaat (25 Ogos 2017). Namun, pihak kami tidak dapat mengesahkan kesahihannya sehinggalah laman-laman rasmi seperti Al-Jazeera dan Channel News Asia melaporkannya.
5. Berita, imej dan klip video yang kami terima menunjukkan pihak tentera telah bertindak menggeledah perkampungan etnik Rohingya, membunuh para penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak serta membakar masjid dan madrasah.
6. Ini bertentangan dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak tentera dan kerajaan Myanmar pada hari Jumaat (25 Ogos 2017) yang mendakwa serangan disasarkan ke atas kumpulan pengganas ‘Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA)’ yang dituduh melakukan serangan di lebih 20 pos keselamatan pada hari Khamis menyebabkan 12 orang pegawai terkorban. Kenyataan kerajaan juga menyebut 59 orang pengganas ARSA telah berjaya dibunuh dalam serangan tersebut.
7. Kenyataan rasmi tentera dan kerajaan Myanmar ini sangat diragui berdasarkan rekod buruk tentera Myanmar sebelum ini. Oktober tahun lalu (2016) menyaksikan serangan tentera Myanmar ke atas komuniti Rohingya atas alasan sama (membasmi pengganas ARSA). Operasi ini berlanjutan sehingga Februari 2017 menyebabkan hampir 1,000 orang terkorban dan 90,000 orang kehilangan tempat tinggal.
8. Liputan media di sempadan Bangladesh-Myanmar menunjukkan ribuan etnik Rohingya kini terkandas kerana tidak dibenarkan masuk oleh tentera Bangladesh yang berkawal di sempadan. Sebahagian yang berjaya masuk telah dihalau semula ke Myanmar. Kepulan asap dan bunyi tembakan juga boleh dilihat dan didengar dengan jelas dari sempadan.
9. Tekanan antarabangsa perlu dikenakan ke atas Myanmar agar serangan ke atas orang awam dihentikan serta-merta. Tindakan menyerang orang awam sambil berselindung di sebalik alasan memerangi keganasan adalah perbuatan terkutuk yang perlu diperangi. Orang awam #NotATarget.
10. Kerajaan Myanmar sewajarnya menyambut baik saranan-saranan yang telah dikemukakan oleh Kofi Annan dan mengambil langkah proaktif melaksanakannya sekiranya benar-benar ingin menyelesaikan konflik di Arakan. Jika tidak, penubuhan dan laporan suruhanjaya ini hanya tinggal gimik politik semata-mata.
‘Nurturing Humanity, Making a Difference’
Disediakan oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan (R&E), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Ayuh menyumbang ke Tabung Kecemasan Rohingya secara ONLINE di sini: www.billplz.com/selamatkanrohingya
[MisiFlotilla] Untuk Siaran Segera: 11 November 2024
Ketika kita mengenang mereka yang telah terkorban akibat kekejaman yang dilakukan oleh Israel dan sekutunya sepanjang tahun lalu, FFC terus berusaha memecahkan sekatan ke atas