Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyambut baik dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan Malaysia untuk membuka kedutaan khusus untuk Palestin di Jordan.
Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 pada Jumaat lepas (25 Oktober) di Baku Congress Centre, Azerbaijan.
MyCARE mengikuti dengan dekat pendirian kerajaan Malaysia ke atas Kashmir, etnik Rohingya, Uighur dan Palestin. Ucapan Tun Dr Mahathir yang membidas Israel dan kuasa-kuasa besar yang melindungi entiti haram tersebut dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lepas, kini diperkukuh dengan komitmen untuk membela rakyat Palestin dengan lebih jitu. Pengumuman Tun Dr Mahathir untuk membuka kedutaan Palestin di Jordan dalam persidangan NAM baru baru ini adalah satu isyarat jelas kepada negara-negara anggota NAM bahawa badan berkecuali tersebut tetap mempunyai tanggungjawab moral untuk membela mana-mana pihak yang dizalimi secara sistematik seperti di Palestin.
Sebagai badan kemanusiaan yang mengurus bantuan kemanusiaan ke Palestin sejak tahun 2010, MyCARE percaya langkah ini mampu memperkemas dan melicinkan lagi proses penghantaran bantuan oleh Malaysia kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
Sekatan berterusan Israel ke atas Gaza, rampasan tanah dan polisi apartheid Israel di Tebing Barat serta cubaan Amerika Syarikat, sekutu kuat Israel, untuk melumpuhkan badan khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menguruskan keperluan lebih 5 juta pelarian Palestin, UNRWA, menuntut kepada langkah proaktif daripada negara-negara di dunia.
MyCARE juga menganggap langkah ini sebagai tindakan yang tepat bagi mencabar wewenang Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu Israel yang mengiktiraf tindakan Israel merampas wilayah Baitulmaqdis Timur daripada rakyat Palestin baru-baru ini.
MyCARE bersedia membantu pihak kerajaan dalam menjayakan langkah strategik ini melalui pejabat kami di Gaza, rangkaian perhubungan kami di peringkat antarabangsa dan rakyat Malaysia yang menyumbang ke Palestin melalui MyCARE.
Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika
Rose2Rose bersama para NGO yang bernaung di bawah Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) telah menghantar sebuah memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat