Riuh orang ramai apabila sebuah syarikat pembekal ayam milik Muslim di utara Malaysia dikhabarkan terpaksa tutup kesan daripada aksi boikot ke atas rangkaian kedai KFC.
Memang dahsyat kesan boikot kali ini. Ia lebih dahsyat berbanding aksi boikot pada tahun 2014 ketika Gaza dibedil selama 50 hari.
Mana tidaknya. Kali ini genosid sudah berlanjutan lebih 150 hari namun belum ada tanda-tanda ia akan dihentikan. Jumlah korban dan kemusnahan juga terus bertambah dari sehari ke sehari.
Justeru tidak pelik kali ini lebih banyak jenama yang terkesan dengan kempen boikot. Hal itu kerana faktor penarik dan penolaknya jauh lebih besar.
Ada yang memboikot kerana sumbangan jenama-jenama tersebut kepada Israel dengan kebanyakannya mempunyai operasi perniagaan di negara haram itu.
Ada juga yang boikot kerana jenama-jenama tersebut menyatakan sokongan kepada Israel walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa negara haram itu melakukan genosid di Gaza.
Tidak kurang juga yang memboikot kerana jenama-jenama berkenaan berasal dari AS yang dikenali sebagai negara penyokong tegar Israel. Washingtonlah yang membekalkan Israel dengan senjata, melindungi mereka daripada ancaman luar (Hezbollah dan Houthi) dan membela mereka daripada kecaman serta tindakan antarabangsa dengan memveto semua resolusi PBB.
Pada waktu yang sama, ada juga pihak yang membidas aksi boikot.
Mereka mendakwa boikot yang berlaku telah memudaratkan rakyat dan negara kita sendiri.
Perniagaan rugi, pekerja terpaksa dihentikan atau dicutikan tanpa gaji. Ada juga cawangan terpaksa dipendekkan waktu operasi, selain ada yang terpaksa ditutup terus.
Saya sejak awal menyokong dan mempromosikan langkah memboikot secara berhemah dan berstrategi.
Berhemah sebab kita sedar setiap boikot ada kesan yang berlapis-lapis sebelum sampai ke Israel. Memang ada pihak yang akan terpaksa ‘berkorban’ dan ‘dikorbankan’.
Perjuangan apa yang tiada pengorbanan?
Berstrategi sebab sedar tidak praktikal untuk kita memboikot semua jenama berkaitan Israel secara sekali gus. Normalisasi perdagangan dunia dengan Israel sudah berlaku lebih 30 tahun. Bukan mudah untuk meruntuhkan semua itu dalam sekelip mata.
Salah satu strategi yang perlu ada dalam tindakan boikot ialah ia mestilah mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada musuh berbanding diri kita sendiri.
Mudarat terkecil boikot ialah pengguna tidak lagi dapat membeli atau melanggan jenama yang digemari. Pengguna terpaksa ‘berkorban’ mencari alternatif lain yang kualitinya mungkin tidak setanding dengan jenama sebenar.
Mudarat terbesar adalah seperti yang telah disebutkan awal tadi; perniagaan rugi, kehilangan kerja atau perniagaan terpaksa ditutup.
Namun, apalah sangat mudarat ini berbanding derita yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza – yang bukan sahaja kehilangan harta bahkan nyawa. Harta boleh dicari. Nyawa tiada galang gantinya.
Sebab itu ada contoh di beberapa negara yang rakyatnya sedia mengambil risiko kehilangan kerja apabila memilih untuk menyokong Palestin.
Ada juga syarikat yang mengambil tindakan drastik menukar terus jenama bagi menghormati sentimen majoriti pelanggan mereka. Ia adalah keputusan perniagaan yang munasabah.
Tapi tidak semua pihak mempunyai keupayaan yang sama. Sebab itu kita perlu berhati-hati. Dalam usaha kita memberi tekanan kepada Israel, jangan tersilap langkah sehingga kita pula yang menzalimi orang lain.
Sebagai contoh, memboikot sebuah syarikat francais dari AS yang dimiliki oleh syarikat induk, berbeza dengan memboikot francais yang dimiliki oleh rakyat tempatan.
Francais yang dimiliki syarikat induk boleh diminta untuk bertanggungjawab sepenuhnya, sedangkan francais yang dimiliki rakyat tempatan mempunyai kuasa yang terhad.
Boikot ke atas francais yang dimiliki syarikat induk akan 100 peratus mengena sasaran, manakala boikot ke atas francais milik tempatan hanya memberi tekanan antara 5 peratus hingga 10 peratus saja, bergantung kepada jumlah royalti dan yuran franchaisi yang perlu dibayar.
Dengan kata lain, boikot ke atas francais yang dimiliki rakyat tempatan akan memberi mudarat lebih besar kepada lokaliti setempat berbanding syarikat induk.
Mudaratnya akan berganda sekiranya francais tersebut mempunyai rangkaian kerjasama tempatan yang besar.
Dengan kata lain, kita akan tersalah sasar jika aspek ini tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya. Kita ingin sasarkan Israel, tetapi yang mendapat bahananya ialah orang lain.
Berdasarkan pertimbangan ini, saya secara peribadi kurang setuju dengan beberapa sasaran boikot yang tular hari ini.
Hal itu kerana kesan buruknya bukan sahaja kepada rakyat tempatan tetapi terhadap gerakan boikot itu sendiri.
Gerakan boikot akan hilang kredibiliti dan kita membuang masa bercakaran sesama sendiri sedangkan medan pertembungan yang sepatutnya adalah dengan Israel.
Pun begitu, saya tidak menyalahkan mereka yang memboikot semata-mata. Jenama-jenama yang diboikot turut menyumbang kepada pelebaran jurang yang ada.
Jenama-jenama terbabit gagal memahami sentimen sebenar masyarakat. Mereka sekadar bermain dengan sentimen agama dan bangsa sambil enggan menyentuh isu pokok yang dibangkitkan iaitu apa yang berlaku di Gaza.
Mereka memilih untuk menjadi neutral ketika genosid sedang berlangsung di Gaza!
Tindakan itu hanya mengundang amarah masyarakat. Lebih buruk, ada jenama yang mengancam untuk menyaman pengguna yang memboikot mereka walhal mereka tahu boikot adalah hak pengguna.
Genosid di Gaza sepatutnya menyatukan kita semua, bukan memecah-belahkan. Masyarakat dan perusahaan seharusnya bekerjasama menentang kezaliman yang berlaku.
Masing-masing mempunyai tanggungjawab moral, sosial dan kolektif ke atas Gaza.
Jika francais di AS dan Israel bebas menyatakan pendirian mereka menyokong Israel, apa yang menghalang francais di Malaysia untuk berbuat yang sama, tetapi untuk Palestin?
Mengapa menjaga kepentingan 9.3 juta prospek di Israel seolah-olah lebih utama daripada 1.8 billion prospek di 57 negara Islam? Ini langsung tidak masuk akal dari perspektif perniagaan.
Perlu ditegaskan bahawa sasaran utama boikot ialah Israel. Jenama-jenama tersebut disasarkan kerana sumbangan atau sokongan mereka kepada Israel. Jika sumbangan atau sokongan tersebut dihentikan, boikot tidak lagi relevan.
Dengan kata lain, matlamat boikot bukan untuk memufliskan atau menutup periuk nasi mereka. Matlamat boikot ialah untuk menggesa jenama-jenama berkenaan supaya menamatkan urusniaga mereka dengan Israel sekali gus menjadi sebahagian daripada denyut nadi masyarakat menuntut keadilan untuk rakyat tertindas.
Boikot terbukti mampu menjadi senjata ampuh untuk menumbangkan kezaliman seperti yang berlaku ke atas rejim rasis kulit putih (apartheid) di Afrika Selatan 33 tahun dahulu.
Rakyat Palestin telah pun menubuhkan gerakan Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) pada 2004 untuk menggerakkan inisiatif memulau Israel di peringkat antarabangsa secara komprehensif.
Gerakan itu diiktiraf oleh Israel sendiri sebagai ancaman strategik kepada masa depan penjajahan mereka di Palestin. BDS dianggar boleh menyebabkan Israel kerugian sehingga RM52 billion setahun.
BDS tidak hanya menyeru kepada boikot barang-barang konsumer bahkan menyeru kepada tindakan memboikot Israel melalui platform akademik dan budaya (sukan dan hiburan).
BDS juga menggesa syarikat-syarikat antarabangsa supaya menarik pelaburan dan urusniaga dengan Israel (divestment) serta mendesak negara-negara supaya memutuskan hubungan dagang dan diplomatik dengan negara haram itu (sanction).
Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bergabung di bawah inisiatif BDS supaya inisiatif antarabangsa yang dipelopori oleh rakyat Palestin ini dapat terus diperkasakan.
– Khalid Jimat,
Ketua Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence – PACE
[Banjir] MyCARE bantu pembersihan rumah mangsa
Lokasi: Taman Sri Bayu, Tumpat, Kampung Kelawar Kampung Lancang, Pasir Mas Jenis bantuan: Pek Makanan & Mencuci Jumlah: 30 buah keluarga Sukarelawan: