Deklarasi Balfour

Pernahkah anda terfikir, bagaimana satu deklarasi ringkas, sepanjang satu perenggan dan 67 patah perkataan, berjaya menatijahkan sebuah negara Yahudi di Palestin? Kuasa magis apa yang dimiliki deklarasi ini sehingga mampu berbuat demikian?Mari kita tinjau apa yang menyebabkan deklarasi ini begitu ‘berkuasa’ sekali.

a. Deklarasi ini dikeluarkan oleh Arthur James Balfour, Menteri Luar British pada ketika itu, bagi pihak kerajaan British. Sebab itulah namanya Deklarasi Balfour.

British pula merupakan antara empayar besar di dunia pada ketika itu selain Perancis, Rusia, Jerman, Uthmaniyah dan Austria-Hungary. Deklarasi ini berkuasa kerana ia dikeluarkan oleh kuasa besar dunia.

b. Deklarasi ini dikeluarkan ketika Perang Dunia Pertama (WW1). British dan sekutunya dalam Pihak Bersekutu (Perancis, Rusia, Itali, Jepun, Amerika Syarikat dll) berperang dengan negara-negara Kuasa Tengah (Jerman, Uthmaniyah, Austria-Hungary).

Pengisytiharan ketika perang adalah tanda ia satu pengisytiharan yang penting. British berharap deklarasi ini dapat memberi kelebihan strategik kepadanya untuk menang perang.

c. Deklarasi ini adalah janji ketiga British kepada tiga pihak berbeza terkait Palestin.

Janji pertama (1915) kepada Sharif Hussein, pemimpin Arab di Mekah (Hussein-McMahon Correspondence). British berjanji akan memerdekakan wilayah Arab sekiranya beliau memimpin bangsa Arab dan melancarkan perang ke atas Uthmaniyah.

Janji kedua (1916) kepada Perancis (Perjanjian Sykes-Picot). Oleh kerana bimbang dengan tuntutan Perancis ke atas Palestin, British berjaya memujuk Perancis untuk bekerjasama menjadikan Palestin sebagai wilayah antarabangsa.

Janji ketiga (1917) adalah kepada Pertubuhan Zionis. Oleh kerana ia adalah janji yang paling terkini, secara logiknya dua janji yang sebelumnya terbatal dengan sendirinya. Hebat. Arab dan Perancis diketepikan begitu sahaja.

d. British keluarkan deklarasi ini hanya selepas mendapat lampu hijau daripada Woodrow Wilson, Presiden Amerika Syarikat (US). US ketika itu baru mula menyertai WW1 sebagai ‘associated power’ (kuasa bersekutu) dan bukan ‘formal ally’ (sekutu rasmi) kepada British dan Perancis.

Penyertaan US banyak membantu mengisi kelompongan sumber Pihak Bersekutu yang semakin kering selepas lebih dua tahun berperang. Pandangan US diperlukan sebelum deklarasi strategik seperti ini dikeluarkan.

e. Deklarasi ini dikeluarkan selepas Pertubuhan Zionis mendakwa Jerman sedang mempertimbang untuk membuat pengisytiharan serupa yang boleh memberi kelebihan strategik kepada mereka. British tidak mahu kelebihan tersebut terlepas dari genggaman mereka.

“Cop cop… dari tadi engkau sebut kelebihan strategik. Kelebihan strategik apa yang engkau maksudkan?”

Begini. British percaya deklarasi ini boleh:

a. Menarik sokongan Yahudi yang ada di serata dunia, khususnya di negara-negara yang bersekutu dengan British dan negara-negara yang sedang berperang dengan British, kepada Pihak Bersekutu. Komuniti Yahudi mungkin kecil tetapi mereka sangat ‘resourceful’ (bijak, kaya dengan sumber).

b. Memastikan Rusia akan kekal berperang di Pihak Bersekutu. Rusia pada ketika itu sedang berdepan dengan Revolusi Bolshevik. Kerajaan Tsar dijangka akan tumbang. Kerajaan baru tidak semestinya akan terus bersama Pihak Bersekutu dalam WW1. British percaya Pertubuhan Zionis boleh mempengaruhi Yahudi yang memimpin Revolusi Bolshevik (seperti Trotsky) untuk terus bersama Pihak Bersekutu.

c. Merencat rancangan Jerman untuk menarik sokongan Yahudi dengan menawarkan deklarasi yang sama (seperti yang dimaklumkan Pertubuhan Zionis). Jika Jerman bersedia untuk membuat tawaran yang sama, mengapa tidak British? Jerman pasti ingin menggunakan hubungannya dengan Uthmaniyah untuk membenarkan Yahudi berhijrah beramai-ramai ke Palestin, wilayah yang berada di bawah penguasaan Uthmaniyah.

d. Memberi kelebihan kepada British ke atas Perancis yang dijangka akan terus mendesak supaya Palestin dijadikan wilayah antarabangsa (seperti yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Sykes-Picot). Sekiranya Palestin menjadi ‘buffer-state’ (negara penampan) antara wilayah penguasaan British dan Perancis di Timur Tengah selepas WW1, British pasti akan mempunyai kelebihan kerana membantu pembentukannya. Lebih-lebih lagi Palestin berada hampir dengan Terusan Suez yang penting untuk perdagangan British dan hubungan dengan jajahannya di India dan di timur.

“Yer…yer jer kau. Betul ke Zionis mampu buat semua tu? Kuat sangat ke pengaruh derang? Entah-entah propa jer!”

Menurut Profesor Emeritus Avi Shlaim, Profesor Hubungan Luar Negara di Universiti Oxford, ada dua school of thought (aliran pemikiran) utama dalam pertikaian menentukan sebab sebenar deklarasi ini dikeluarkan.

Yang pertama oleh Leonard Stein, bekas Setiausaha Politik Pertubuhan Zionis Antarabangsa dari 1920-1929. Stein berpendapat deklarasi ini adalah hasil kebijakan dan kemahiran pemimpin Zionis melobi dan menjual propaganda mereka kepada pemimpin kanan British untuk mendapatkan jaminan dan sokongan yang mereka perlukan.

Yang kedua oleh Profesor Meyir Verete, profesor Sejarah di Universiti Hebrew di Jerusalem. Verete berpendapat deklarasi ini adalah hasil amalan politik pragmatik pemimpin British demi memelihara kepentingan British di waktu perang.Ada juga pendapat yang mengatakan deklarasi ini selari dengan matlamat jangka panjang British yang mahu memecahkan Empayar Uthmaniyah. British mahu membina laluan darat antara jajahannya di Mesir dan di Teluk Parsi. Ini pendapat Profesor Emeritus Jacob Coleman Hurewitz, profesor Sains Politik di Colombia University.

“Engkau pula macam mana? Apa pendapat kau?”

Saya secara peribadi cenderung kepada pandangan Profesor Emeritus Jonathan Schneer, profesor Sejarah di Georgia Institute of Technology. Schneer berpendapat:

“Because it was unpredictable and characterized by contradictions, deceptions, misinterpretations, and wishful thinking, the lead-up to the Balfour Declaration sowed dragon’s teeth. It produced a murderous harvest, and we go on harvesting even today.”

(Kerana ia tidak dapat diramalkan dan mengandungi percanggahan, penipuan, salah tafsir, dan angan-angan, peristiwa yang membawa kepada pengisytiharan Deklarasi Balfour menanam benih kebinasaan. Ia menghasilkan tuaian yang membunuh, yang kita terus tuai sehingga ke hari ini.)

– Khalid Jimat,
Palestine Centre of Excellence (PACE)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Harapan baru untuk Syria

Rakyat Syria masih berperang — bukan dengan senjata, tapi dengan kelaparan, kehilangan, dan kesedihan.   Rakyat Syria memerlukan bantuan segera untuk membina semula kehidupan —

[Banjir] Operasi di Kelantan

Sukarelawan telah turun ke depo barangan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri di RTC, Tunjong untuk menyumbang tenaga pada 6 dan 7 Disember