Hari Ini Dalam Sejarah | 15 Mac | Ulangtahun Kebangkitan (Thaurah) Rakyat Syria

Tanggal 15 Mac merupakan detik bersejarah bagi pendokong aspirasi rakyat di seluruh pelusuk dunia kerana ia merupakan permulaan kepada sebuah kebangkitan rakyat di Syria.
Setelah 4 dekad hidup di bawah pemerintahan diktator rejim al-Assad, pada 15 Mac 2011 rakyat Syria telah bangkit bersama gelombang Arab Spring untuk menuntut demokrasi, kebebasan, keadilan dan perubahan di dalam pemerintahan negara.
Kebangkitan rakyat ini telah cuba dikekang oleh Presiden Bashar al-Assad melalui pengisytiharan tamatnya pemerintahan darurat (yang telah berkuatkuasa sejak 1960-an), persetujuan untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan komitmen untuk membina kerajaan yang bersih.
Namun, semua ini hanyalah janji-janji manis belaka. Pihak rejim sebaliknya telah menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang konsisten berhimpun secara aman menuntut perubahan kepada pemerintahan negara.
Dari satu Jumaat ke satu Jumaat, suara rakyat menjadi semakin lantang. Menjelang bulan Mei, perhimpunan rakyat telah merebak ke hampir semua bandar-bandar utama di Syria dan jumlah yang berhimpun dilaporkan mencecah jutaan orang.
Pihak rejim walau bagaimanapun nekad menggunakan kekerasan ke atas rakyat untuk kekal berkuasa. Akibatnya, setakat Mei 2011, sekurang-kurangnya 1,000 orang awam terkorban dalam pertembungan dengan pihak polis dan tentera rejim al-Assad.
Tindakan kejam rejim al-Assad membunuh rakyat sendiri ini telah diprotes oleh sebahagian daripada anggota polis dan tentera kerajaan. Antara pertembungan terawal antara sesama anggota polis dan tentera ialah di bandar Jisr al-Shugur, Idlib pada awal bulan Jun.
Natijahnya, sebahagian besar anggota polis dan tentera telah memutuskan untuk tidak lagi akur kepada arahan rejim al-Assad selepas menyaksikan rakan-rakan mereka dibunuh oleh pegawai perisikan kerajaan kerana enggan melepaskan tembakan ke arah orang awam.
Menjelang bulan Julai, jumlah anggota polis dan tentera ini semakin bertambah. Tidak tahan melihat rakyat Syria terus-menerus diperlakukan dengan kejam oleh rejim al-Assad, anggota-anggota tentera ini telah bertindak membentuk sebuah pasukan tentera yang dikenali sebagai ‘Tentera Pembebasan Syria’ (Free Syrian Army, FSA) bagi membela dan melindungi rakyat Syria. Pelbagai kumpulan bersenjata lain turut muncul dalam usaha rakyat mempertahankan diri daripada serangan kejam rejim Bashar al-Assad.
Kini, selepas 7 tahun berlalu (2011-2018), kebangkitan di Syria telah bertukar daripada sebuah kebangkitan rakyat menentang pemerintah yang zalim kepada sebuah konflik peperangan dengan wajah yang sangat buruk dan kesan yang sangat menyayat hati.
Bashar al-Assad tergamak meneruskan polisi kejam membunuh rakyat sendiri semata-mata untuk terus kekal berkuasa dan memelihara kepentingan rejimnya dan sekutu-sekutunya. Bashar al-Assad bahkan sanggup menggadai kedaulatan Syria dengan membenarkan campurtangan kuasa-kuasa asing – Rusia, Iran, Iraq, Hezbollah dan militan-militan Syiah dari Pakistan dan Afghanistan, demi menundukkan kebangkitan rakyatnya sendiri. Bashar melabel semua musuh politiknya sebagai pengganas seperti ISIS untuk menghalalkan serangan kejam yang dilakukan ke atas rakyat yang bangkit menentang pemerintahannya.
Akibatnya, Syria berdepan dengan konflik kemanusiaan terbesar di dunia pada hari ini dengan jumlah korban melebihi setengah juta orang, lebih 11 juta orang kehilangan tempat tinggal dan 13 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan.
Terbaru (18 Februari 2018), rejim Bashar al-Assad melancarkan serangan besar-besaran ke atas wilayah Timur Ghouta di pinggir Damsyik dalam usaha merampas semula wilayah tersebut daripada penguasaan kumpulan pembebasan Syria.
Pihak rejim menggunakan alasan menyerang kumpulan pengganas untuk menghalalkan tindakan mereka walhal yang menjadi sasaran adalah rakyat awam, hospital dan sekolah. Angka korban kini sudah mencecah 1,000 orang dan masih tiada tanda-tanda serangan akan dihentikan. Pihak rejim dilihat nekad untuk merampas semula wilayah Timur Ghouta walau apa pun harganya.
Walaupun situasi semasa sangat mendukacitakan, apa yang berlaku akan tetap dirakam sebagai sebuah kebangkitan rakyat menuntut kebebasan, keadilan dan kehormatan. Ia adalah sebuah kebangkitan rakyat yang tulen kerana rakyat benar-benar membayar harganya – dengan harta, darah dan air mata.
Pada saat ini, mereka masih membayar harganya dan akan terus membayarnya buat satu tempoh yang panjang. Mereka tidak mempunyai pilihan lain; sama ada kemenangan atau hidup atau mati dengan penuh kehormatan.
Ayuh, kita bersama-sama menyokong perjuangan rakyat Syria menuntut kebebasan, keadilan dan kehormatan di tanah air mereka dalam pelbagai kapasiti yang kita miliki sama ada dari sudut bantuan kemanusiaan, politik, diplomatik, undang-undang dan sebagainya agar nyawa rakyat Syria yang tidak berdosa dapat diselamatkan dan keamanan kembali di bumi as-Syam.
Jangan kita termakan dengan propaganda sebahagian pihak yang cuba menyuntik fitnah menuduh perjuangan rakyat Syria ini merupakan agenda barat untuk memecah-belahkan umat Islam, memelihara kepentingan barat dan Israel serta menghapuskan Syria yang merupakan antara seteru utama Zionis Israel.
Ini adalah satu tuduhan yang sangat keji dan mengkhianati pengorbanan ribuan rakyat yang telah syahid di Syria.
Naratif ini wajib ditolak!
Kepada golongan ini kita katakan, sungguhpun barat mempunyai perancangan mereka tersendiri untuk memburuk-burukkan Rusia dan menjatuhkan Bashar al-Assad, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertahankan tindakan rejim al-Assad membunuh orang awam.
Alangkah bertuahnya Bashar al-Assad kerana mampu melontar batu sembunyi tangan!
Kita mengutuk serangan rejim al-Assad dan Rusia ke atas rakyat Syria sepertimana kita mengutuk serangan Amerika ke atas Iraq, Arab Saudi ke atas Yaman dan Myanmar ke atas Rohingya!
Kita mengutuk sebarang tindakan yang dilakukan semata-mata untuk memelihara hegemoni pihak-pihak berkepentingan dan bukannya kepentingan rakyat.
Justeru, ayuh bersama kita berdiri di belakang perjuangan rakyat Syria dan sama-sama kita berusaha untuk memastikan perjuangan ini kelak berakhir dengan kemenangan.
– Khalid Jimat,
Pegawai Penyelidik
Palestine Centre of Excellence – PACE

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

XM x MyCARE bawa anak yatim ke dunia sains

Terima kasih kepada XM atas sokongan bagi menjayakan program Exploring Science: A Journey Into Discovery bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Asnaf Qaseh Ibu. Program

[MyPrihatin] Bantuan untuk pelajar asnaf

Bantuan MyPrihatin untuk Nurul Wakhidah binti Mohd Amin, seorang pelajar berusia 25 tahun bertujuan untuk meringankan cabaran yang dihadapinya setelah pembedahan otak yang menyebabkan penyakit