Pejuang-pejuang Pembukaan Palestin yang diberkati Allah,
Berkenaan jihad di Palestin, al-Qarḍāwi menyebutkan dalam bukunya berjudul al-Quds Qaḍiah Kullu al-Muslim, “Jihad di Palestin hanya dituntut sehingga rejim Zionis dikalahkan, terhentinya segala kezaliman dan penindasan dan Palestin kembali dimiliki oleh orang Islam”.
Dalam hal ini, berkenaan jihad memerangi musuh dengan tentera dan senjata bagi khalayak umum pula, ia hanya terlaksana selepas mendapat arahan dan kebenaran daripada pemerintah sahaja.
Kata Syeikh Ibn Uthaimin, “Tidak boleh berperang dengan ketenteraan kecuali dengan izin pemerintah, walau apa pun keadaannya, kerana yang dipertanggungjawab untuk membuat keputusan ketenteraan itu adalah urusan pemerintah, bukannya orang awam, kalau dilakukan juga oleh orang awam, ia adalah satu kesalahan dalam agama”.
Untuk memahami bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah isu ketenteraan. Penjenayah-penjenayah Yahudi Zionis menggunakan kuasa ketenteraan untuk menyembelih penduduk Gaza setiap hari. Oleh itu, penyelesaiannya juga sepatutnya juga dengan ketenteraan sebagai salah satu penyelesaian yang efektif.
Justeru, bagi mana-mana pemimpin Muslim yang berkemampuan untuk membuat keputusan ketenteraan bagi membantu rakyat Palestin tetapi tidak melakukan apa yang sepatutnya, dia berdosa.
Fatwa daripada Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkenaan Taufan al-Aqsa menyebutkan, “Para pemerintah dan askar-askar mereka mesti campur tangan segera untuk menyelamatkan Gaza daripada pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan total”.
Fatwa ini dikeluarkan pada bulan Oktober tahun yang lalu, sehingga sekarang sedihnya tiada satu negara Arab dan Islam yang mampu menyahut fatwa ini.
Selain daripada golongan pemimpin, rakyat awam turut menanggung tanggungjawab membantu rakyat Palestin.
Kata al-Qarḍāwi dalam dalam bukunya berjudul, Fatāwā al-Muāṣorah, jilid ketiga, “Apabila umat Islam sudah tidak mampu untuk berjihad dan berperang di jalan Allah untuk pertahankan negara mereka, mengembalikan tanah yang dirampas oleh musuh, maka agama Islam mewajibkan umat untuk memboikot musuh mereka melalui ekonomi, masyarakat dan budaya”.
Mengambil saranan dari al-Qarḍāwi, bagi rakyat awam, bagi mereka ada tiga bentuk jihad yang boleh dilaksanakan. Jihad maklumat, budaya dan ekonomi. Jihad maklumat adalah dengan menyebarkan berita-berita yang sahih dan memberi kesan positif kepada khalayak ramai. Di zaman kemajuan maklumat dan teknologi sekarang, bayaran yang perlu ditanggung untuk melaksanakan jihad ini hanyalah masa dan kehendak sahaja.
Bermakna, ia boleh dilakukan oleh semua orang. Tiada siapa boleh halang daripada kita menyebarkan berita-berita terkini tentang Palestin di semua platform media sosial sama ada dari hasil kandungan sendiri atau berkongsi kandungan orang lain.
Lebih baik daripada itu sekiranya isu-isu Palestin ini dikaitkan dengan ayat-ayat al-Quran. Solah al-Khalidi sebutkan dalam bukunya yang berjudul, Haqaiq al-Quraniah Hawla al-Qaḍiah al-Filistiniah, “Kita menyeru seruan kami, masuklah medan perang terakhir dengan Yahudi Zionis, bersenjatakan dengan al-Quran, berpandukan dengan cahaya al-Quran, menggunakan fakta-fakta al-Quran dengan iman, keyakinan, kesedaran dan kepercayaan”.
Al-Quran ada menyebutkan tentang sifat-sifat seorang pejuang Mukmin yang berkualiti seperti dalam Surah Mukminun, sifat-sifat orang Munafiq seperti dalam Surah al-Baqarah, sifat-sifat musuh seperti dalam Surah al-Israk, juga dalam surah yang sama diceritakan pengakhiran isu Palestin dan pelbagai lagi.
Sekiranya golongan ekstrem Yahudi mengangkat Taurat mereka untuk menguatkan kepercayaan mereka untuk meneruskan penjajahan, kita seharusnya lebih-lebih lagi mengangkat dan menjunjung Kalam Allah dalam al-Quran bagi membuka Palestin.
Di samping itu, jihad budaya pula adalah dengan membudayakan perjuangan isu Palestin semua aspek dalam kehidupan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Dengan kata lain, kita mahukan budaya perjuangan isu Palestin itu sudah menjadi budaya rakyat Malaysia.
Hal ini termasuklah dengan membiasakan pakai pakaian yang bercorak Palestin seperti tudung bercorak Kafieh, baju kemeja T dengan corak Palestin, bendera Palestin di letakkan di pelbagai tempat, depan rumah, depan pejabat dan sebagainya. Perlu diingati bahawa, ini adalah nikmat daripada Allah untuk rakyat Malaysia kerana dapat sokong Palestin secara terbuka tidak seperti negara-negara Arab termasuk Saudi, Mesir dan sebagainya.
Aspek jihad terakhir adalah jihad melalui ekonomi. Ini juga aspek jihad yang boleh dilakukan oleh semua orang secara percuma dan mudah.
Fatwa daripada Badan Ulama Palestin menyebutkan, “Salah satu kewajipan yang paling tinggi bagi setiap Muslim ialah menyokong perjuangan Palestin dengan hartanya. Bahkan ketika Allah SWT telah mengaitkan jihad antara wang dan jiwa, Allah SWT mengutamakan wang terlebih dahulu daripada jiwa.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah al-Hujurat 49: 15)
Setiap kali umat Islam mengelakkan diri dari berbelanja di perniagaan-perniagaan yang boleh menguntungkan rejim Zionis, bukan sahaja membantu melemahkan penjajah ini, bahkan mendapat pahala di sisi Allah kerana bersama-sama dalam jihad ini.
Kesimpulannya, selagi Netanyahu dan kerajaan zalimnya tidak menghentikan serangan dari udara, darat dan laut ke atas Gaza selagi itulah keadaan umat Islam di sana semakin tenat. Angka syahid sekarang telah mencecah 35,000 orang. Separuh daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak, bayi dan wanita. Oleh itu, usaha kita untuk berjihad melalui maklumat, budaya dan ekonomi sepatutnya perlu lebih lagi. Inilah peluang yang Allah berikan untuk kita merasai pahala jihad seperti saudara-saudara kita di Palestin.
Ditulis oleh Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Penyelidik Palestine Centre of Excellence
[Banjir] MyCARE bantu pembersihan rumah mangsa
Lokasi: Taman Sri Bayu, Tumpat, Kampung Kelawar Kampung Lancang, Pasir Mas Jenis bantuan: Pek Makanan & Mencuci Jumlah: 30 buah keluarga Sukarelawan: