Nama wanita ini adalah Jihad Abu Muhsin atau Ummu Muhammad. Beliau terkenal dengan kekuatan semangatnya; sesuai dengan namanya. Beliau tinggal di Khan Younis, Gaza, sebuah negeri yang terkenal dengan penduduknya daripada kalangan Mujahidat (pejuang-pejuang wanita) dan Murabiyat (pendidik-pendidik wanita) kepada pejuang kemerdekaan Palestin.
Wanita muda berumur 29 tahun ini mempunyai dua orang anak lelaki, Muhammad dan Karim dan seorang anak perempuan. Anak perempuannya itu adalah anak angkat. Walaupun kehidupannya susah, ia tidak menghalang beliau daripada mengambil anak angkat. Begitu mulia hati ibu muda ini.
Suami Ummu Muhammad telah lanjut usianya. Beliau tidak mampu bekerja kerana dihalangi pelbagai penyakit. Sekatan Israel ke atas Gaza juga telah menyukarkan beliau untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Justeru, wanita muda ini bertekad untuk mengambil-alih tanggungjawab menyara keluarganya yang tercinta.
Ummu Muhammad mula bekerja setiap hari pada waktu pagi dengan trolinya yang ditarik oleh keldainya. Beliau mencari batu-batu runtuhan di jalan-jalan di Khan Younis tanpa rasa lelah dan penat. Beliau mencari batu-batu runtuhan di mana-mana sahaja yang beliau jumpa sehingga penuh troli.
Kemudiannya beliau akan bawa batu-batu runtuhan tersebut itu ke alat penghancur (crusher). Ia adalah sebuah alat yang digunakan untuk menghasilkan simen. Ummu Muhammad menjual batu-batu runtuhan yang dijumpainya itu dengan harga tidak melebihi 3 dolar atau bersamaan RM12 untuk satu troli. Wang inilah yang digunakan untuk menyara kehidupan keluarga beliau.
Ummu Muhammad gembira dan terharu mendengar keprihatinan rakyat Malaysia terhadap keadaan rakyat Palestin di Gaza. Beliau berterima kasih dan mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Sama-sama kita doakan Ummu Muhammad terus dikurniakan kekuatan untuk menjaga keluarga kecilnya. Semoga Gaza akan kembali bebas, aman dan sentosa satu hari nanti.
Sumber: Asyraf Alawyiah, MyCARE Gaza