Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan pembunuhan terbaru rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Kem Jenin, Tebing Barat, Palestin.
Pencerobohan dan pembunuhan ini melanggar Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) khususnya Resolusi 242 dan 338 yang menuntut Israel berundur sepenuhnya dari Tebing Barat dan Gaza.
Pencerobohan dan pembunuhan ini juga bertentangan dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang melarang penggunaan kekerasan secara berlebihan serta tindakan menghukum orang awam secara kolektif.
“Dalam pencerobohan baru-baru ini, rejim Zionis Israel kerahkan hampir 1,000 orang tentera termasuk dari skuad elit. Mereka datang dengan lebih 150 jentera berat berperisai. Mereka serang penempatan awam dari darat dan udara menggunakan roket, dron, dan helikopter. Hatta hospital sekalipun diserang. Ini sangat biadab dan keterlaluan,” kata Dr. Hafidzi Mohd Noor, Penasihat Kehormat MyCARE.
Serangan dilapor telah menyebabkan 12 orang rakyat Palestin terbunuh dan lebih 100 orang cedera.
“Mereka rosakkan jalan raya dan sistem kumbahan. Mereka putuskan bekalan air, elektrik dan talian komunikasi ke seluruh kem. Jadi, seluruh penduduk terkesan, bukan sahaja kumpulan bersenjata yang mereka sasarkan,” tambah Dr. Hafidzi.
Kem Jenin adalah salah satu daripada 19 kem pelarian Palestin di Tebing Barat. Kem ini menempatkan sejumlah 14,000 orang penduduk yang terdiri daripada pelarian Palestin yang diusir keluar selepas penubuhan Israel pada tahun 1948.
Menurut Kamarul Zaman Shaharul Anwar, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, kem ini mempunyai kadar kemiskinan dan pengangguran antara yang tertinggi di Tebing Barat. Ini kesan daripada penjajahan Israel ke atas Tebing Barat sejak tahun 1967. Serangan yang berlaku akan memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi dan kebajikan penduduk.
“MyCARE telah putuskan untuk lancarkan Kempen #SaveJenin untuk membantu pelarian Palestin yang terkesan akibat serangan ini. Untuk fasa pertama, kami akan salurkan bantuan berjumlah USD25,000 khusus untuk keperluan perubatan di hospital. Kami dimaklumkan keperluan perubatan sangat mendesak ketika ini kerana pencerobohan berlaku hampir setiap minggu,” jelas Kamarul Zaman.
Serangan seumpama ini telah berlarutan sejak tahun 2021. Serangan menjadi semakin kerap selepas Zionis Israel melancarkan Operation Break the Wave pada Mac 2022 ke atas Tebing Barat. Dalam satu serangan pada Mei 2022, wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh turut terkorban.
Untuk tahun 2023, setakat ini sudah lebih 60 orang penduduk Jenin terbunuh dalam siri-siri serangan Zionis Israel. Jumlah ini adalah yang terbesar berbanding wilayah-wilayah lain di Palestin termasuk Gaza.
“Jika sambutan menggalakkan, kami akan susuli dengan fasa kedua yang akan memberi fokus kepada bantuan bakul makanan, keperluan wanita dan bayi serta bantuan tunai kepada keluarga asnaf,” tambah beliau.
MyCARE menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk kempen ini. Bantuan akan disalurkan dengan kerjasama rakan NGO di Tebing Barat yang juga telah bekerjasama dengan MyCARE untuk pelaksanaan ibadah korban di Palestin baru-baru ini.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan secara atas talian di http://mycare.qrd.by/palestin atau salurkan terus ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad – 8602 135 592 (CIMB) (Rujukan: Palestin)
[Banjir] MyCARE bantu pembersihan rumah mangsa
Lokasi: Taman Sri Bayu, Tumpat, Kampung Kelawar Kampung Lancang, Pasir Mas Jenis bantuan: Pek Makanan & Mencuci Jumlah: 30 buah keluarga Sukarelawan: