Dengan kerjasama Nour Al-Marifah Association, MyCARE Gaza berjaya mengagihkan sebanyak 1,500 baucar beli-belah kepada anak-anak yatim di kem pelarian Deir al-Balah dan An-Nuseirat.
Baucar ini diberikan kepada anak-anak yang kehilangan bapa mereka sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober 2023.
Setiap baucar yang bernilai 200 NIS membolehkan mereka bersama ibu mereka membeli barang keperluan di pasaraya besar, mengikut pilihan mereka sendiri.
Sejak tercetusnya konflik, jumlah anak yatim di Gaza telah meningkat kepada 17,000 orang.
Inisiatif ini adalah fasa pertama daripada usaha berterusan MyCARE dalam menyokong anak-anak yatim di Gaza, dan kami komited untuk meneruskan bantuan ini, insya Allah.
Majlis pengagihan ini dimulakan dengan satu program sokongan psikososial yang bertujuan untuk menghiburkan anak-anak yatim ini dan mengurangkan beban emosi yang mereka tanggung.
Sokongan psikososial adalah amat penting bagi kanak-kanak yang terkesan oleh peperangan kerana ia membantu mereka menangani trauma, memberikan ruang untuk mengekspresikan emosi mereka, dan membantu dalam proses penyembuhan mental.
Pengalaman perasaan kehilangan, ketakutan, dan kekacauan memerlukan pendekatan yang lebih dari sekadar bantuan fizikal – ia memerlukan usaha untuk memulihkan jiwa dan emosi kanak-kanak yang rapuh ini.
Setelah sesi sokongan psikososial, anak-anak yatim dibawa ke pasaraya untuk menggunakan baucar mereka.
Bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan kesesakan, kanak-kanak ini dipecahkan kepada kumpulan kecil dan proses membeli-belah ini dijalankan selama 15 hari.
Keluarga dan anak-anak yatim ini menyatakan rasa syukur yang mendalam kepada MyCARE dan rakyat Malaysia atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Senyuman di wajah kanak-kanak ini mencerminkan kegembiraan mereka dan menunjukkan kesan positif inisiatif ini.
MyCARE berharap untuk melaksanakan lebih banyak program pada masa akan datang untuk terus membantu anak-anak yatim yang memerlukan ini.
Sokongan anda membawa senyuman dan harapan kepada mereka yang paling terkesan.