Hari terakhir misi, seawal pagi kami bergerak ke arah Jakarta bagi menziarahi pejabat pengurusan Human Initiative yang terletak di Depok, Jawa Barat. Rakan pelaksana kami ini merupakan antara lembaga (NGO) terkehadapan dalam bantuan kemanusiaan di Indonesia. Berpengalaman luas dalam berdepan dengan kerja menyelamat dan krisis situasi bencana seperti gempa bumi, banjir, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya membuatkan semua ahli pasukan mereka sentiasa bersedia 24 jam.
Kedatangan kami disambut meriah oleh para kakitangan di pejabat mereka. Kami sangat berbesar hati dengan kesudian dari Presiden Human Initiative, Pak Tomy Hendrajati dan GM Human Initiative, Mbak Maya Sita Darlina menemui kami dan memberi ucapan aluan. Menurut Pak Tomy, rakyat Indonesia harus memiliki sifat survival (kelangsungan hidup) yang tinggi bagi mendepani bencana.
Pada masa kini, lebih 87 juta orang di dunia yang memerlukan bantuan. NGO yang berada di seluruh dunia perlu sentiasa membantu antara satu sama lain bagi memastikan bantuan diberikan sampai kepada golongan yang memerlukan. Beliau menambah lagi, segala pengalaman misi harus dikongsi dan disebar luaskan kepada rakan-rakan di Malaysia bagi menarik lebih ramai lagi sukarelawan berkemahiran yang mampan.
Pertemuan ini sangat memberi inspirasi buat kami. Semoga kita dapat bertemu dan berpeluang berkolaborasi lagi di masa akan datang, insya Allah.
Terima kasih team Human Initiative!